suria

Puncak Niaga, Kerajaan Selangor Perlu Lantik Jurunilai Bebas Dalam Pengambilalihan Konsesi

SHAH ALAM: Puncak Niaga Holdings Berhad (PNHB) bersama-sama kerajaan Selangor perlu melantik jurunilai bebas dalam memuktamadkan tawaran harga pengambilalihan syarikat konsesi itu yang masih belum selesai.

Setiausaha Kumpulan Pemantau Pemegang Saham Minoriti Puncak Niaga (PNMSWG)Ang Chin Hann berkata adalah wajar penentuan harga itu dilakukan oleh sebuah badan bebas supaya hak kesemua pemegang saham syarikat tersebut dapat dilindungi sepenuhnya.

Beliau berkata tindakan itu adalah inisiatif terbaik yang seharusnya dilakukan anggota lembaga pengarah PNHB bagi mewujudkan situasi menang-menang antara pemegang saham dan kerajaan negeri selain memberi manfaat setimpal kepada kedua-duanya.
 
"Sebagai pelabur, kami mahu kuasa pasaran yang menentukan harga sepatutnya dalam tawaran pengambilalihan tersebut. Sebab itu kami gesa pihak terlibat lantik penilai bebas supaya harga itu lebih adil, munasabah dan dipersetujui semua pihak.
 
"Pada kami, kerajaan tidak sepatutnya menggunakan pelaksanaan akta WSIA (Industri Perkhidmatan Air 2006) sebagai kuasa memaksa kami menjual saham-saham itu dengan harga murah kerana dalam perniagaan, pasaran harus terbuka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata campur tangan kerajaan menggunakan WSIA dalam penentuan tawaran harga pengambilalihan syarikat konsesi itu juga dilihat menidakkan hak mereka sebagai pemegang saham minoriti yang telah sekian lama melabur dalam PNHB.

Ang berkata PNHB disaran untuk lebih teliti dalam membuat sebarang keputusan berkaitan pengambilalihan tersebut selain mencari pendekatan terbaik supaya tidak menjual ekuiti dan aset syarikat kepada mana-mana pihak pada harga diskaun.
 
"PNHB harus melindungi kepentingan pemegang saham jadi segala urusan dengan kerajaan persekutuan dan negeri mesti dikaji dan diteliti daripada sudut perniagaan memandangkan kita adalah 'public listed company'.

"Setakat ini kami tiada maklumat tentang jumlah tawaran yang ditetapkan PNHB maka dicadangkan syarikat lantik badan profesional dalam soal perundangan dan penasihat kewangan bebas untuk bagi pandangan seimbang mengenai perkara ini," katanya.

Pada 26 Februari lepas, syarikat milik kerajaan Selangor iaitu Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) membuat tawaran rasmi berjumlah RM9.65 bilion untuk membeli ekuiti keempat-empat syarikat konsesi air di negeri itu iaitu PNHB; Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas); Syarikat Pengeluar Air Selangor (Splash); dan Konsortium Abass Sdn Bhd (ABASS), namun hanya ABASS yang menerimanya.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini juga menyatakan pendirian kerajaan negeri dalam menyokong cadangan kerajaan persekutuan untuk menguatkuasakan Seksyen 114 WSIA sebagai langkah menyelesaikan proses pengambilalihan industri air di negeri tersebut.

Menurut Abdul Khalid, akta tersebut dilihat memberi kesan positif kepada kerajaan negeri iaitu dapat menjimatkan sejumlah RM2 bilion dalam tawaran harga pengambilalihan tersebut daripada kadar yang ditetapkan sebelum itu iaitu RM9.65 bilion.

Puncak Niaga, Selangor

Artikel Lain