suria

MH370: Carian Di Udara, Permukaan Laut Ditangguh Akibat Cuaca Buruk

Pencarian dalam air menggunakan Kenderaan Dalam Air Automatik, Bluefin-21, dijangka meneruskan misi ke-15 pada Ahad.

PERTH: Operasi pencarian di udara dan pemukaan laut bagi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang ditangguhkan pada Ahad berikutan cuaca buruk. 

Bagaimanapun, pencarian dalam air menggunakan Kenderaan Dalam Air Automatik, Bluefin-21, dijangka meneruskan misi ke-15 pada Ahad pagi.

Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) yang menyelia operasi itu berkata Bluefin-21 dijangka melengkapkan baki pencarian di kawasan yang dikenal pasti dan terus meneliti kawasan berhampiran dalam misi itu.

Tiada perkara yang mempunyai kaitan dengan pesawat itu ditemui sejak operasi pencarian dimulakan 51 hari lepas, menurut JACC.

Kenyataan itu menyebut sebarang maklumat lanjut akan diumumkan, jika dan apabila diperoleh.

Bluefin-21 dikerah menjalankan misi pertama pada 14 April dengan harapan untuk mengesan sebarang serpihan pesawat itu dalam air berikutan tiada lagi isyarat dikesan oleh alat Pengesan Pinger Ditunda sejak 8 April.

Ia dilengkapi sonar yang menggunakan bunyi akustik bagi menghasilkan peta 3D di dasar laut dan mengambil masa minimum 24 jam untuk menyelesaikan setiap misi termasuk empat jam untuk muat turun data dikumpul.

Penerbangan MH370 bersama-sama 239 orang hilang daripada imbasan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.

Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat Boeing 777-200ER itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila ia dikatakan melencong daripada laluan asalnya.

Selepas analisis terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu adalah di Lautan Hindi, di barat Perth, Australia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 'berakhir di selatan Lautan Hindi'.

JACC, MAS, MH370, Bluefin-21

Artikel Sebelum

Artikel Lain