suria

KLIA2: AirAsia Jumpa PAC Hari Ini

JOHOR BARU: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan mengadakan pertemuan dengan AirAsia berhubung isu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada Isnin.

Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, berdasarkan kenyataan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), beliau percaya AirAsia mempunyai pandangan tersendiri berhubung projek berkenaan.

Laporan sebelum ini menyebut AirAsia enggan berpindah dari Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) ke KLIA2, kerana bimbang terhadap tahap keselamatan dan operasi penerbangan di KLIA2.

Namun kemudiannya, syarikat penerbangan tambang murah itu bersetuju untuk berpindah ke KLIA2 dan memulakan operasi pada 9 Mei ini.

"Kami percaya isu keselamatan dan dakwaan bahawa terminal itu tidak memenuhi standard antabangsa tiada kaitan dengan kelewatannya untuk beroperasi.

"Bagaimanapun kami mahu dengar penerangan AirAsia dan penjelasan mengenai perkara yang dibangkitkan MAHB," kata Nur Jazlan yang juga Ahli Parlimen Pulai.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes dijangka akan hadir ke sesi pendengaran PAC hari ini.
AirAsia, MAHB, PAC, Tony Fernandes

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain