BUKIT KAYU HITAM: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) di sini menahan seorang pemandu lori yang membawa 4,000 liter minyak diesel dalam tangki yang diubah suai di Kilometer 4.5, Lebuh Raya Utara Selatan menghala Bukit Kayu Hitam, pagi Ahad. Komander UPP Kedah Abdul Latif Abd Rahman berkata, sepasukan anggota yang membuat rondaan pada kira-kira pukul 11.30 pagi menemui lori berkenaan dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan sebelum mendapati ia mempunyai tangki fiber bagi menyimpan minyak diesel, dipercayai untuk diseludup. "Hasil pemeriksaan mendapati, lori itu rosak dan pemeriksaan lanjut menemui minyak diesel bernilai RM8,000 dalam tangki fiber di ruang simpanan barang dan pemandu berusia lingkungan 30-an itu gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan diesel itu. "Pemandu itu berasal dari Jalan Apas, Tawau, Sabah mendakwa baru bekerja lapan hari dan hanya ditugaskan memandu lori itu ke beberapa lokasi di Bukit Kayu Hitam dengan kekerapan dua kali sehari dengan upah RM60 sehari," katanya di sini. Beliau berkata, siasatan awal mendapati diesel itu akan dihantar ke stor simpanan diesel haram di sekitar Bukit Kayu Hitam sebelum ia diseludup ke Thailand. Menurut Abdul Latif, lori itu pernah ditahan atas kesalahan sama pada 2012 dan dikenakan tindakan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK). "Taktik penyeludup menggunakan lori membawa barang untuk menyeludup minyak ini adalah untuk mengaburi mata pihak berkuasa, namun kita dapat menghidu perbuatan mereka ini," katanya. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan. Beliau berkata, lori yang bernilai kira-kira RM20,000 itu juga ditahan untuk siasatan lanjut dan kes diserah kepada KPDNKK.