suria

350 Kes Keselamatan Industri Dikemuka Ke Mahkamah Tahun Lalu

KUCHING: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mengemukakan 350 kes berkaitan kesalahan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja ke mahkamah sepanjang tahun lalu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ismail Abd Muttalib berkata, penemuan itu hasil daripada 210,413 pemeriksaaan yang dijalankan JKKP ke atas tempat kerja dan jentera.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan itu pihaknya juga mengeluarkan sebanyak 18,186 notis dan 415 kompaun.

Sementara itu, Ismail yang juga Pengerusi Majlis Negara Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan berkata, kadar kemalangan di tempat kerja di negara ini bagi 2013 adalah 3.28 bagi setiap 1,000 pekerja berbanding 3.31 pada 2012.

"Ini menunjukkan penurunan sebanyak 0.9 peratus dan ia adalah pencapaian yang membanggakan," katanya selepas melancarkan Sambutan Hari Sedunia Bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2014 di sini, Isnin.

Sehubungan itu, beliau menggesa majikan dan kesatuan sekerja di negara ini untuk memainkan peranan bagi mempertingkat keselamatan pekerja dan tahap keselamatan di tempat kerja masing-masing.

Katanya, pihak kesatuan sekerja tidak seharusnya berjuang untuk kenaikan gaji pekerja sahaja tetapi perlu juga memperjuangkan hak keselamatan pekerja.

Beliau juga meminta supaya majikan menitik beratkan keselamatan pekerja masng-masing dengan memastikan tahap keselamatan di tempat kerja mereka sentiasa selamat.

"Pekerja merupakan aset kepada majikan, oleh itu adalah penting untuk majikan sentiasa menitik beratkan keselamatan pekerja mereka.

"Apabila kemalangan menimpa pekerja, ia satu kerugian bukan sahaja terhadap pekerja terbabit tetapi juga majikan yang terpaksa membayar pampasan tinggi, selain kemerosotan produktiviti," katanya.

Ismail berkata, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) pada tahun lalu membayar pampasanan dan faedah berjumlah RM2.2 bilion kepada 396,914 pencarum yang ditimpa kemalangan termasuk 35,296 kemalangan perusahaan di seluruh negara.

Rekod Perkeso menunjukkan kemalangan di tempat kerja menunjukkan penurunan, tetapi kemalangan ke tempat kerja dan dari tempat kerja menunjukkan peningkatan.

Terdahulu dalam ucapannya Ismail berkata adalah menjadi tanggungajawab majikan untuk menyediakan Sistem Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaaan dalam pelaksanaan tindakan pencegahan dan perlindungan di tempat kerja.

Katanya, majikan tidak harus bersikap sambil lewa dan mengambil berat akan keperluan dalam memastikan aspek keselamatan, kesihatan dan kebajikan para pekerja di tempat kerja perlu sentiasa dipelihara dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Beliau juga berkata walaupun penggunaan bahan kimia tidak asing dalam kehidupan seharian, namun pendedadan risiko kepada bahan kimia perlu dikawal.

Artikel Lain