KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang merangka program pentauliahan dengan kerjasama pertubuhan antarabangsa bagi meningkatkan tahap profesionalisme pegawai siasatannya. Mengikut perancangan, program yang bakal meletakkan pegawai suruhanjaya itu setanding dengan agensi penguatkuasa antarabangsa lain ini dijangka mula dilaksanakan pada suku ketiga tahun ini. Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed, berkata pembangunan program ini juga dilihat selari dengan dasar transformasi SPRM yang dilaksanakan sejak tiga tahun yang lalu. "Kami melihat bidang di mana kami boleh bekerjasama untuk membina kapasiti sendiri. "Oleh itu, bagi siasatan, kita perlu tingkatkan kepakaran kita dan profesionalisme pendekatan kita kendalikan kerja-kerja siasatan," kata di sini, Isnin. Terdahulu beliau menyampaikan ucaptama pada Persidangan Penipuan Korporat 2014 yang turut dihadiri Allen Brown yang mewakili Presiden ACFE. Abu Kassim berkata, bagi mencapai matlamat itu pihaknya mengadakan perbincangan dengan Association of Certified Fraud Examiners (ACFE) yang akan bertindak sebagai salah satu badan profesional yang akan melakukan pemeriksaan dan penilaian. "Kami telah mengadakan perbincangan dengan ACFE. Mereka pada dasarnya bersetuju untuk membantu," katanya. Menerusi program transformasi bidang operasi yang membabitkan aspek siasatan dan perisikan, SPRM memperkenalkan lebih 20 inisiatif selaras dengan misi meningkatkan keupayaan menjalankan siasatan dan profesionalisme. Brown juga bekas Timbalan Juruaudit Perundangan dan pemilik firma Perunding AFB turut mengadakan perbincangan dengan SPRM bagi menjayakan program pentauliahan itu. Ketika ditanya media, Brown berkata, ACFE bangga dan bersedia untuk membantu SPRM dalam membangunkan program tersebut memandangkan usaha memerangi rasuah dan penipuan kini memasuki fasa cabaran yang baharu. "Pegawai siasatan perlu dilatih berkenaan dengan cara yang sofistikated... kini rasuah dan penipuan wujud dalam bentuk baharu yang memerlukan kepakaran teknologi maklumat. "Kami telah membantu banyak agensi penguatkuasa antarabangsa. Jadi, kami tiada masalah untuk bekerjasama dengan Malaysia," katanya. Pengiktirafan ACFE adalah piawaian cemerlang yang diterima di seluruh dunia dalam profesion antipenipuan. Program ini akan membabitkan sekitar 400 pegawai siasatan sedang berkhidmat dengan SPRM manakala bagi pegawai siasatan yang baharu akan mengikuti program pentauliahan selama 45 hari sepanjang tempoh tiga tahun pertama mereka berkhidmat. Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) akan menjadi pusat pengendali bagi program pentauliahan ini supaya SPRM setanding Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat, Polis London, Perkhidmatan Marsyal Amerika Syarikat dan Perkhidmatan Hasil Afrika Selatan.