KOTA SAMARAHAN: Sarawak akan mengikut keputusan dan pendirian yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap usul rang undang-undang persendirian bagi melaksanakan Hudud di Kelantan. Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Ir Daud Abdul Rahman, berkata kerajaan negeri tidak menolak pelaksanaan Hudud, kerana sebagai orang Islam hukum yang ditetapkan oleh Allah tidak boleh ditentang. "Pelaksanaan Hudud itu mesti mengikut perkembangan semasa supaya semua pihak termasuk mereka yang bukan Islam betul-betul memahami hukum tersebut. "Seperti apa yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW, hukum Hudud tidak pernah dilaksanakan sebaliknya ia merupakan satu proses yang berjalan dengan sendiri dan pelaksanaannya dilakukan kepada semua orang," katanya. Daud berkata keadaan itu berbeza dengan hasrat PAS yang ingin melaksanakan undang-undang Hudud itu secara persendirian di Kelantan dan hanya dikuatkuasa kepada mereka yang beragama Islam. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya pendirian Sarawak sama ada menyokong atau menolak usul rang undang-undang persendirian bagi melaksanakan Hudud di Kelantan yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jun atau selewat-lewatnya Disember ini. Terdahulu Daud merasmikan Seminar Fatwa Institut Pengajian Tinggi (IPT) peringkat Sarawak di Pusat Islam Tun Abang Salahuddin (PITAS) Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) di sini, Selasa. Mengulas lanjut, beliau berkata sekiranya hukum Hudud dilaksanakan sedemikian di Kelantan, ia akan mengundang pelbagai komplikasi, iaitu mewujudkan rasa tidak senang dalam kalangan mereka yang bukan beragama Islam. "Sepatutnya penerangan dan pemahaman mengenai hukum Hudud itu perlu dilaksanakan terlebih dahulu kepada seluruh masyarakat dan dalam hal ini Pusat Penerangan Islam (IIC) harus memainkan peranan. "Sekiranya masih ada yang takut mengenai hukum Hudud, sama ada orang Islam atau bukan Islam, membuktikan bahawa pemahaman rakyat mengenai hukum itu masih belum jelas," katanya. Daud berkata dalam masa yang sama, penerangan mengenai Islam harus ditunjukkan menerusi amalan dan sikap umat Islam sendiri, supaya mereka yang bukan Islam menghormati dan tertarik dengan agama Allah ini.