suria

Peraturan Daftar Biometrik Untuk Visa Rakyat M'sia Ke India Ditangguh Sebulan

KUALA LUMPUR: Peraturan yang memerlukan pendaftaran biometrik untuk rakyat Malaysia yang memohon visa ke India ditangguh selama sebulan berkuat kuasa pada Selasa.

Setiausaha Pertama (Politik dan Penerangan) Suruhanjaya Tinggi India di Malaysia, K.N Ramachandran berkata, keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, T.S Tirumurti selepas satu pertemuan beliau bersama beberapa wakil tertinggi MIC di sini Isnin.

"Kami faham timbul masalah di kalangan masyarakat India sepanjang proses permohonan, selepas perbincangan... peraturan ini ditangguhkan selama sebulan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Selasa.

Sebelum ini portal sesawang www.indiavisa.com.my menyatakan setiap pemohon visa untuk ke India perlu ke Pusat Visa bagi pendaftaran biometrik dan peraturan ini terpakai untuk semua kategori visa termasuk untuk pelancongan dan perniagaan.

Polisi yang berkuat kuasa mulai 1 April, tahun ini turut mensyaratkan agensi pelancongan atau lain-lain wakil tidak boleh menghantar permohonan bagi pihak pemohon.  

Sementara itu, Setiausaha Agung MIC, A.Prakash Rao berkata, masyarakat India di negara ini termasuk Persatuan Agensi Pelancongan India Malaysia (MiTTA) meminta MIC membantu mereka menyelesaikan isu ini.

"Keputusan ini sedikit sebanyak membantu rakyat negara ini terutamanya kaum India yang menghadapi pelbagai kesukaran untuk melakukan proses tersebut yang hanya boleh dibuat di tiga buah Pusat Permohonan Visa India (Ivac) iaitu di Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang," katanya.

Prakash Rao berkata, walaupun tujuh lagi pusat Ivac bakal beroperasi di Ipoh, Kuantan, Kuala Terengganu, Klang, Melaka, Kota Kinabalu dan Kuching, tetapi ia dilihat masih mengundang kesukaran di kalangan kaum India negara ini yang mahu ke negara itu terutama untuk tujuan mendapatkan rawatan perubatan dan menunaikan nazar. 

Katanya, masalah itu timbul terutama bagi mereka yang tinggal di pedalaman atau negeri-negeri lain yang tidak mempunyai pusat ini.

"Kami berharap lebih banyak lagi pusat (Ivac) akan dibuka terutama di kawasan yang mempunyai komuniti India yang ramai," katanya.

"Dengan keputusan ini, kami mengucapkan terima masih di atas keprihatinan pihak kedutaan India di Malaysia dan berharap dalam masa sebulan ini masalah ini dapat diselesaikan dengan lebih banyak pusat (Ivac) beroperasi bagi kemudahan kaum India juga rakyat negara ini umumnya yang mahu ke India," katanya.

Artikel Lain