KOTA KINABALU: Seorang jurujual berusia 30 tahun ditahan kerana memiliki komponen pistol di Lapangan Terbang Antarangsa Kota Kinabalu pada Selasa. Lelaki itu baru sahaja tiba dari Taiwan dan mahu menaiki penerbangan berikutnya ke Tawau ketika ditahan. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu membeli slaid pistol di Taiwan. Beliau berkata, lelaki itu mahu berkunjung ke Tawau apabila pihak berkuasa mendapati terdapat barang yang mencurigakan di dalam bagasinya berdasarkan imej-imej pada pengimbas pusat pemeriksaan pada kira-kira pukul 7.30 malam Selasa. "Lelaki itu berkata bahawa dia membeli barang itu di Taiwan untuk permainan paintball," katanya. Hamza berkata, tiada senjata lain atau komponen senjata api ditemui di dalam beg itu dan lelaki itu akan disiasat di bawah Akta Senjata 1960. "Ia menyalahi undang-undang untuk membawa atau memiliki barang yang berkaitan dengan senjata api," katanya.