suria

Catuan Air Berakhir, Ada Yang Tidak Gembira

KLANG: Pelan catuan air yang ditamatkan oleh Kerajaan Selangor pada Rabu merupakan berita gembira bagi masyarakat di sekitar Lembah Klang.

Namun, bagi pengusaha kedai barangan plastik, mereka menyambutnya sebagai satu keresahan dalam perniagaan.

Hal ini kerana, bekas takungan air yang dibeli pada harga tinggi dari pengilang terpaksa dijual pada harga murah selepas ini.

Seorang pengusahanya, Lye Ji Huat, 52, berkata, selain terpaksa menjual bekas takungan dengan harga murah, barangan itu juga mungkin terpaksa disimpan dengan lebih lama.

"Saya membeli bekas yang boleh memuatkan 20 liter air pada harga RM40 setiap satu tetapi selepas ini ia tidak boleh lagi dijual pada harga berkenaan.

"Saya juga perlu mengambil risiko dengan menyimpannya lebih lama tanpa mengetahui bilakah pembeli akan membelinya," katanya.

Seorang lagi penjual takungan air di Bandar Puteri yang enggan dikenali berkata, dia menyambut baik pelan catuan air yang berakhir pada Rabu.

"Tetapi saya cuma risaukan mengenai lambakan bekas takungan air yang perlu disimpan selepas ini," jelasnya.

Amy Chia yang merupakan pengusaha restoran memberitahu, dia gembira apabila mengetahui pembekalan air bersih akan kembali seperti biasa.

"Ini akan memudahkan segala urusan di restoran manakala pelanggan juga akan berasa lebih selesa," ujarnya   


Klang, Selangor

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain