JOHOR BARU: Sebuah rumah agam berusia 150 tahun yang pernah didiami seorang kontraktor yang dermawan, Wong Ah Fook telah dirobohkan. Wong yang namanya turut digunakan untuk jalan utama di bandar itu merupakan seorang ketua kontraktor kerajaan dan membina beberapa bangunan warisan yang terkenal di Johor termasuk Istana Besar, Balai Zaharah, tempat kediaman Menteri Besar pertama, Datuk Jaafar Mohamed di Bukit Senyum dan penjara Johor Baru di Ayer Molek. Rumah agamnya di Jalan Lumba Kuda di sini dirobohkan kira-kira pukul 11 malam Rabu. Pakar sejarah, Bak Jia How, 30, berkata, amat menyedihkan untuk melihat timbuhan serpihan runtuhan di tempat bangunan itu tersergam indah. "Ia antara salah sebuah rumah agam yang tidak dapat kita lihat kembali selepas ini," katanya. Terdahulu, penduduk yang tinggal dekat dengan rumah agam itu dilaporkan kecewa selepas mengetahui pemilik tanah tersebut mahu merobohkan bangunan tersebut bagi memberi laluan kepada projek baharu. Wong dilahirkan pada 1837 dan meninggal dunia pada 1918 ketika berusia 81 tahun.