ALOR SETAR: MCA sedia bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor, tetapi masih menunggu keputusan muktamad pimpinan Barisan Nasional (BN) berhubung perkara itu. Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, MCA mempunyai senarai calon bagi PRK itu, tetapi ia tidak boleh diputuskan lagi kerana perbincangan perlu dibuat dahulu dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN. "MCA sudah ada calon berhubung PRK di Bukit Gelugor tetapi perkara ini perlu dibincangkan antara presiden parti dan pengerusi BN terlebih dahulu kerana kita bertanding atas tiket BN. "Kita sudah memulakan persiapan rapi walaupun keputusan masih belum diketahui kerana kita mahu segalanya berjalan dengan lancar. "Apa juga keputusan dibuat, kita akan akur dengan keputusan pucuk pimpinan dan meneruskan perjuangan kita selepas itu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan Sesi Dialog bersama Persatuan-persatuan Cina di sini, Jumaat. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 25 Mei ini sebagai hari mengundi PRK Bukit Gelugor selepas Anggota Parlimen kawasan itu Karpal Singh maut dalam kemalangan jalan raya pada 17 April lalu. Penamaan calon ditetapkan pada 12 Mei manakala pengundian awal pada 21 Mei. Dalam pada itu, Liow berkata, MCA kini dalam proses transformasi dengan membentangkan dasar pembangunan menyeluruh untuk mengembalikan sokongan kaum Cina terhadap parti itu dan BN. "Sesi dialog telah dilakukan bersama-sama Persatuan Cina di sini dan rata-rata mereka mahukan MCA melalui transformasi. Banyak isu dibangkitkan oleh komuniti Cina dan sebagai parti, kita akan gunakan saluran yang ada untuk menyelesaikannya. "Antara isu yang dibangkitkan berkaitan dengan pendidikan Bahasa Cina, masalah lesen, peluang pekerjaan dan ekonomi. Perkara ini perlu diberi perhatian dan penting untuk pastikan ia dapat diselesaikan dan sekaligus membantu rakyat yang sedang mengalami transformasi," katanya. Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga anggota Parlimen Teluk Intan Seah Leong Peng, 48, yang meninggal dunia akibat kanser di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 7.30 pagi Khamis.