Eksklusif PETALING JAYA: Sistem parol yang mula dilaksanakan pada 2008 bakal melalui proses penambahbaikan apabila banduan yang mendapat pelepasan menerusi perintah parol akan bebas keluar masuk penjara setiap hari untuk bekerja. Umumnya, parol bermaksud pelepasan yang diberikan kepada seseorang banduan untuk menjalani sebahagian hukuman di luar penjara di bawah pengawasan Pegawai Parol. Setakat ini, seramai 7,843 banduan layak mendapat perintah pelepasan itu. Banduan inilah yang dikenali sebagai 'Orang Di Parol' atau ODP. Syarat kelayakan untuk mendapat pelepasan perintah parol adalah banduan itu dikenakan hukuman minimum satu tahun penjara atau sekurang-kurangnya sudah menjalani separuh daripada tempoh hukuman, selain faktor sokongan keluarga, diterima masyarakat dan berkelakuan baik. Pengarah Bahagian Parol dan Perkhidmatan Komuniti Jabatan Penjara, Timbalan Komisioner Abdul Aziz Mohamad, berkata cadangan parol harian itu dikemukakan bagi memberi lebih ruang kepada banduan menjalani proses pemulihan di luar penjara iaitu bekerja dan bergaul dengan masyarakat. Abdul Aziz Mohamad. Beliau berkata, sistem parol harian ini masih diperingkat kajian terutama tahap keberkesanannya kepada ODP. "Sistem parol harian ini bermakna ODP ditempatkan di kawasan penjara dan akan keluar ke tempat kerja di luar penjara dan pulang semula ke penjara selepas selesai bekerja, setiap hari. "ODP juga akan diberi kemudahan tempat tidur seakan asrama di kawasan penjara, tetapi tidak akan bercampur bersama banduan lain yang masih menjalani hukuman penjara. "Berbanding ketika ini di mana ODP hanya tinggal bersama keluarga, saudara-mara termasuk kemudahan rumah perantaraan yang disediakan jabatan," katanya kepada mStar Online. Bagaimanapun, Abdul Aziz berkata, syarat untuk ODP harian belum ditetapkan, sama ada ia untuk banduan yang tidak mendapat sokongan keluarga dan masyarakat atau terbuka kepada semua banduan yang diberi pelepasan perintah parol. Mengenai kajian yang dijalankan, Abdul Aziz berkata, ia meliputi aspek kakitangan yang akan mengawal ODP, penerimaan syarikat yang bertindak sebagai majikan dan masyarakat, memandangkan ODP masih tinggal di kawasan penjara. "Jika cadangan sistem parol harian ini dilihat bersesuaian untuk dilaksanakan, ia akan melibatkan pindaan perundangan," katanya. Pegawai parol (dua, kanan) sedang mengadakan perbincangan mengenai perkembangan 'ODP' di tempat kerja. Abdul Aziz berkata, setakat ini, Jabatan Penjara berjaya mengekalkan kadar rendah residivis atau banduan berulang kali masuk penjara di kalangan ODP di bawah satu peratus. "Cadangan penambahbaikan seperti sistem parol harian ini akan membantu mencatatkan kadar residivis lebih rendah di samping mempertingkatkan kualiti keperibadian ODP serta berlaku asimilasi yang sempurna ke dalam masyarakat sebaik sahaja mereka selesai menjalani hukuman kelak," katanya. Sejak sistem parol diperkenalkan pada 2008 dan hingga kini kadar residivis di negara ini bagi ODP hanya mencatatkan 0.56 peratus daripada jumlah keseluruhan 7,843 orang. Sistem parol juga bertujuan untuk menyesuaikan diri ODP dalam masyarakat, sekali gus mendorong mereka berkelakuan baik dan bergaul dalam masyarakat serta membantu mengurangkan kesesakan dalam penjara. Tahun lalu, laporan pasukan penilai Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mencegah Rasuah (UNCAC) di bawah Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) memuji pelaksanaan sistem parol di Malaysia.