suria

17 Kaunter Imigresen Dibuka Di LCCT - MAHB

Kaunter Imigresen di LCCT.

SEPANG: Sebanyak 17 kaunter Imigresen dibuka pada Ahad bagi menangani keperluan penumpang yang tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini.

Pengurus Besar Kanan Bahagian Operasi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Azmi Murad berkata, antara 3 petang dan 5 petang adalah waktu puncak yang mungkin menyebabkan sedikit kesesakan seperti dilaporkan beberapa portal berita dan laman sosial.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 10 kaunter dibuka untuk penerbangan antarabangsa, empat domestik dan tiga lagi pemeriksaan pintu automatik (autogate)," katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Beberapa portal berita dan laman sosial melaporkan kesesakan di kaunter Imigresen di LCCT yang menyebabkan ramai penumpang terpaksa menunggu untuk tempoh lama. 

Azmi berkata, tiada masalah timbul berhubung sistem itu tetapi penumpang terpaksa menunggu lebih lama kerana banyak penerbangan tiba pada waktu itu.

Sementara itu, tinjauan Bernama di LCCT mendapati operasi berjalan seperti biasa tanpa sebarang kekecohan, malah penumpang yang ditemui rata-rata berpuas hati dengan proses pemeriksaan Imigresen.

Muhammad Yamil Mohd Yusof, 28, dari Brunei berkata, tiada yang luar biasa di kaunter Imigresen dan beliau meluangkan masa kira-kira 15 minit untuk keluar dari kaunter itu.

Beliau berkata, bahagian penerbangan antarabangsa mempunyai lebih ramai penumpang namun keadaan kelihatan terkawal.

"Saya juga ada membaca mengenai kekecohan di sini, namun saya tidak nampak perkara seperti itu berlaku," katanya.

Dareus Andrew dari Jerman pula berkata, semuanya berjalan lancar bagi dirinya dan proses daftar keluar dan pemeriksaan dokumen Imigresen adalah sangat mudah.

"Bagi saya, menunggu adalah normal. Tiada kegagalan sistem dan semuanya lancar," katanya.

LCCT, MAHB, Imigresen

Artikel Lain