suria

Kelajuan Internet Malaysia Perlahan Bebanding Vietnam

PETALING JAYA: Rakyat Malaysia mungkin menjadi antara yang aktif berhubung dengan dunia global, namun kelajuan internet di negara ini tidak begitu memuaskan.

Berdasarkan kajian global terbaru, purata kelajuan jalur lebar di Malaysia adalah lebih rendah berbanding Vietnam dan Kemboja di rantau ini dan melebih sedikit daripada Myanmar.

Hampir tiga kali lebih perlahan daripada Vietnam, Malaysia dengan kelajuan 5.48 Megabit sesaat (Mbps) menduduki tempat ke 126 daripada 192 negara yang dikaji dari Mei 2013 hingga April tahun ini.

Berada pada kedudukan teratas ialah Hong Kong dengan kelajuan 78.3 Mbps. 
Singapura berada di tempat kedua dengan 66.6 Mbps manakala Korea Selatan berada di kedudukan keempat (53.77Mbps ).

Berada di kedudukan ke-23 ialah United Kingdom (26.85Mbps) dan Amerika Syarikat di tangga ke-32 (23.9Mbps).

Kajian itu dijalankan oleh Ookla - ujian jalur lebar global dan rangkaian berasaskan web syarikat yang membandingkan kelajuan muat turun, memuat naik dan kualiti sambungan jalur lebar.

Mengulas mengenai kajian itu, Pengerusi Jawatankuasa ICT dan multimedia Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), Dr Neoh Vee Heng berkata anggotanya seramai 2,678 secara amnya mengambil berat tentang kelajuan rangakaian internet di negara ini termasuk kos capaian yang tinggi.

"Seorang ahli kita yang melabur dalam projek besar di Sepang bimbang tentang kelajuan jalur lebar 1Mbps di kawasan itu," katanya.

Menurutnya, FMM akan bertemu dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk membincangkan bagaimana perkhidmatan jalur lebar dapat diperbaiki dan dalam masa yang sama kosnya dikurangkan.

Sementara itu Setiausaha Agung Persekutuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Paul Selvaraj berkata, sambungan internet yang perlahan adalah antara rungutan utama pengguna.

"Pengguna mendaftar untuk pakej mahal dan mengharapkan sambungan internet yang stabil dan cepat, namun syarikat-syarikat telekomunikasi gagal untuk memenuhinya," katanya.
Internet, Jalur Lebar

Artikel Lain