Klip video bertajuk 'Teresa Kok Onederful Malaysia CNY 2014' itu diterbitkannya pada 1 Februari lalu.
Kok, 50, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit Apartmen Putra Ria, Jalan Bangsar, Brickfields, pada kira-kira pukul 9 pagi, 1 Februari lalu.
Dia menghadapi pertuduhan itu mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Kok yang diwakili lima peguam yang diketuai Datuk Param Cumaraswamy, menganggukkan kepala tanda faham akan pertuduhan yang dihadapinya serta lampiran transkrip terjemahan dalam Bahasa Melayu mengenai perkataan yang didakwa berunsur menghasut itu.
Hakim Norsharidah Awang menetapkan 9 Jun untuk pengurusan kes dan memerintahkan empat hari bermula 2 Sept depan untuk perbicaraan kes.
Param Cumaraswamy memohon kepada mahkamah agar anak guamnya diberikan bon peribadi sementara menantikan perbicaraan kes itu.
Seorang lagi peguam S.N Nair berhujah bahawa jaminan peribadi memadai kerana anak guamnya tidak mungkin melarikan diri ataupun tidak hadir di mahkamah.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad meminta mahkamah menetapkan satu jaminan yang munasabah untuk menentukan kehadiran tertuduh di mahkamah.
Norsharidah menetapkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin.
Sementara itu, Muhamad Iskandar memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan bercadang memanggil 10 hingga 15 saksi semasa perbicaraan nanti.