LAHAD DATU: Sabah sekali lagi dikejutkan dengan insiden penculikan terbaharu melibatkan seorang lagi warga China dari sebuah pulau berhampiran. Ketua Menterinya, Datuk Musa Aman mengumumkan pelaksanaan zon perintah berkurung dan zon kawalan kawasan berisiko di perairan negeri itu. Mangsa, seorang pengurus ternakan ikan, Yang Zail Lin, 34, dari Guangzhou diculik lima lelaki bersenjata warga Filipina yang kemudiannya melarikan diri ke Pulau Sibutu, selatan Filipina. Insiden penculikan itu berlaku kira-kira 28 jam selepas empat lanun lengkap bersenjatakan M-16 menyerang dan merompak enjin bot empat nelayan di Tanjung Labian, dekat Kampung Tanduo pada Ahad lalu. Insiden pada pukul 2.45 pagi di ladang ternakan ikan, Wonderful Terrace Sdn Bhd di Pulau Baik, berhampiran perairan Silam, kira-kira 20 kilometer dari selatan Lahad Datu, mengejutkan rakyat Sabah yang kini mempertikaikan fungsi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom). Sekumpulan penculik itu turut bersenjatakan M-16, pada awalnya mendayung bot dengan 40 kuasa kuda berwarna putih ke ladang ternakan ikan itu untuk mengelakkan daripada dikesan pasukan keselamatan sebelum menuju ke jeti kedua di ladang tersebut. Sumber berkata, dua lelaki bertopeng menuju ke bilik seorang tukang masak wanita sebelum bertanyakan mengenai pemilik ladang tersebut yang merupakan warga Hong Kong. Difahamkan pemilik ladang tersebut baru saja beberapa jam meninggalkan kawasan itu sebelum ketibaan kumpulan penculik itu. Mereka melarikan Yang yang keluar dari biliknya selepas terdengar bunyi bising dari bilik tukang masak tersebut. Mereka kemudiannya membawa Yang menaiki bot laju yang menjadi tempat pengawal keselamatan ditahan. Namun, penculik tersebut melepaskan pengawal keselamatan itu dan memecut laju ke perairan antarabangsa. Pasukan keselamatan dimaklumkan segera mengenai insiden itu. Ekoran insiden itu, polis telah melakukan sekatan jalan raya di sepanjang laluan Tawau-Lahad Datu manakala Ops Tutup turut dilaksanakan di perairan negeri tersebut. Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, kira-kira pukul 6.20 pagi mereka berjaya mengesan bot dengan kekuatan enjin 200 kuasa kuda berhampiran perairan Pulau Mataking dan berlaku tembak-menembak antara pasukan keselamatan dan kumpulan penculik itu. Menurutnya, kumpulan penculik itu berjaya memasuki Alice Reef sebelum melarikan diri ke Pulau Sibutu, selatan Filipina. Beliau berkata, kumpulan penculik itu dipercayai menggunakan bot dengan kekuatan enjin 40 kuasa kuda sebelum menukar bot laju untuk melarikan diri dari perairan Sabah. Katanya, beliau telah meminta bantuan daripada polis Filipina dan turut menyiasat sama ada kumpulan tersebut merupakan dalang di sebalik insiden rompakan di Tanjung Labian pada Ahad. Menurut sumber, sekumpulan lanun dalam insiden di Tanjung Labian menggunakan bot hitam dan bercakap dalam bahasa Melayu manakala di Silam mereka bercakap dalam dialek Bajau. Namun, mereka tidak menolak kemungkinan kumpulan tersebut mungkin ada kaitan. Pada 2 April lalu, kumpulan bersenjata dari selatan Filipina menculik pelancong warga China, Gao Huayun, 29, dan seorang pekerja resort, Marcy Dayawan, 40, dari Resort Singamata, Semporna. Lokasi sebenar mangsa culik dilarikan di selatan Filipina belum diketahui walaupun pihak berkuasa Malaysia memberi jaminan bahawa kedua-dua tebusan berada dalam kedaaan selamat. Pada 15 November tahun lalu, seorang wanita warga Taiwan, Chang An Wei, 58, diculik sekumpulan penjenayah di Pulau Pom Pom, Semporna manakala suaminya, Li Min Hsu, 57, dibunuh. Kira-kira sebulan selepas itu, mangsa yang diculik kemudian berjaya diselamatkan pihak berkuasa.