KUCHING: Tiga rentung termasuk dua kanak-kanak perempuan berusia lima dan tiga tahun dalam kebakaran yang memusnahkan 11 buah rumah di Tabuan Foochow di sini, Rabu. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya Tawang Lingen berkata kebakaran yang turut mengorbankan seorang wanita itu bermula kira-kira 10.30 pagi dan api marak dengan cepat. "Kami menerima panggilan daripada orang awam kira-kira 10.30 pagi dan 41 anggota bomba dari Balai Bomba Tabuan Jaya, Batu Lintang dan Kuching bergegas ke lokasi kejadian," katanya. Tawang berkata tujuh buah rumah musnah sama sekali manakala yang lain musnah 70 peratus. "Kami berjaya mengawal api daripada merebak ke rumah berhampiran dalam tempoh 20 minit," katanya yang mengetuai operasi itu. Turut berada di lokasi, Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri Norisham Mohammad. Tawang berkata kesemua mangsa belum dapat dikenal pasti dan siasatan mengenai punca kejadian sedang disiasat. Mayat dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk dibedah siasat.