suria

Mayat Bayi Dalam Tandas: Pelajar Wanita Ditahan

BUKIT MERTAJAM: Seorang pelajar tingkatan empat sebuah sekolah menengah di Butterworth dekat sini ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi lelaki di dalam tangki pam tandas di Klinik Kesihatan Butterworth pada Rabu.

Pelajar perempuan berusia 16 tahun itu ditahan di rumahnya pada pukul 12.30 tengah hari Rabu, kira-kira lima jam selepas mayat bayi yang cukup sifat itu ditemui.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang SAC Mazlan Kesah berkata siasatan awal polis mendapati pelajar terbabit dibawa bapanya ke klinik itu pada Selasa selepas mengadu sakit perut kerana senggugut.

"Ketika diperiksa doktor, remaja perempuan itu memaklumkan dia sakit perut dan mahu ke tandas dan melahirkan bayi lelaki di tandas itu," katanya kepada pemberita selepas 'Program High Policing' di Kubang Semang, di sini Khamis.

Beliau berkata remaja itu dipercayai panik apabila bayinya menangis lalu memasukkannya ke dalam tangki pam tandas berkenaan sebelum dia pergi ke kereta bapanya yang sedang menunggu di kawasan klinik itu.

Mazlan berkata remaja itu tidak memberitahu bapanya kejadian itu dan mereka terus pulang ke rumah.

Berdasarkan siasatan polis, pelajar itu mengaku mengandung hasil hubungan dengan teman lelakinya berusia 18 tahun, katanya.

Remaja perempuan itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk pemeriksaan lanjut sebelum ditahan reman bagi membantu siasatan sementara polis cuba mengesan teman lelaki remaja berkenaan yang dipercayai telah melarikan diri.

Pagi Rabu, seorang pesakit wanita yang menggunakan tandas di klinik itu, menemui mayat bayi lelaki tanpa pakaian di dalam tangki pam tandas klinik itu.


Polis, Bukit Mertajam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain