IPOH: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut apabila rumahnya runtuh dihempap sebatang pokok besar yang tumbang akibat ribut di Taman Perumahan Awam Kamunting dekat Taiping pada Rabu. S.Lingiswaran disahkan meninggal dunia pada 4.20 petang dipercayai akibat sesak nafas. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting Mohd Taufiq Sattar berkata insiden itu berlaku pada 3.34 petang dan mangsa ditemui di atas katil dalam keadaan dihempap tingkap lima belas minit kemudian. Beliau berkata mangsa berada di rumah berkenaan bersama-sama lima anggota keluarga lain iaitu ibu, dua orang nenek, adik serta ibu saudara manakala bapanya tiada di rumah. "Ketika kejadian, mangsa yang berada dalam bilik tidak sempat menyelamatkan diri manakala anggota keluarganya yang lain sempat keluar dari rumah itu," katanya ketika dihubungi. Mohd Taufiq berkata sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Taiping bersama 13 anggota dikerah ke tempat kejadian dan pihaknya menerima lima laporan pokok tumbang susulan hujan lebat serta ribut di kawasan Kamunting.