GERIK: Kunjungan ke Hutan Hujan Belum-Temenggor yang menempatkan pelbagai suku Orang Asli, mendekatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, kepada budaya masyarakat itu. Selesai merasmikan fasa kedua Belum Rainforest Resort, Najib dan isteri serta tetamu kenamaan yang lain dibawa ke Kampung Budaya Orang Asli Tanjung Satu, berdekatan dengan vila eksklusif resort itu. Kedatangan mereka disambut oleh Orang Asli dari beberapa kampung di kawasan sekitar Belum, dan mereka dibawa melihat hasil kraf tangan golongan itu seperti tikar dan bakul mengkuang, serta hasil jahitan, yang merupakan antara punca pendapatan Orang Asli. Najib dan Rosmah turut dibawa melihat 10 kanak-kanak Orang Asli dari Kampung Desa Damai belajar menggunakan kaedah iPlay Toy Library (perpustakaan mainan), iaitu satu daripada inisiatif Yayasan Emkay untuk menggalakkan anak-anak Orang Asli gemar belajar seawal umur dua tahun. Rosmah kemudian dilihat mengajar kanak-kanak itu memakan pisang dengan sos coklat, walaupun kelihatan malu-malu, ternyata ia merupakan pengalaman baharu buat kanak-kanak itu. Najib dan Rosmah turut dijamu dengan pelbagai juadah tradisional masyarakat Orang Asli yang kebanyakannya dibakar di dalam buluh seperti ubi kayu dan ikan baung, serta jenis nasi yang dimasak di dalam buluh seperti lemang dan umbut bayas. Perdana menteri dan isteri kelihatan berselera menikmati hidangan itu bersama-sama dengan masyarakat Orang Asli dan mereka turut minum kopi menggunakan buluh yang dipotong menjadi seperti gelas ataupun 'takok' dalam bahasa Orang Asli. Sebelum pulang, Najib dan Rosmah telah bertemu dengan kanak-kanak yang menyertai Kem Green Ranger Malaysia, sebuah program yang mengajar kanak-kanak, guru dan mereka yang berusia 17 tahun ke atas mengenai pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar serta hidupan liar di kawasan itu.