suria

Superb Musim Kedua Bakal Bermula 19 Jun Ini

Bestari Abrar Nasiruddin.
PETALING JAYA: Musim kedua Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (Superb) yang akan bermula pada 19 Jun depan mensasarkan lebih ramai penyertaan dalam kalangan usahawan Bumiputera dari Sabah dan Sarawak. 

Pengarah Koridor Ekonomi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Bestari Abrar Nasiruddin berkata permohonan secara atas talian dibuka antara 1 hingga 16 Mei ini. 

"Setakat petang tadi (Jumaat) kita menerima sebanyak 755 permohonan. Untuk musim terbaharu ini kita mensasarkan jumlah permohonan yang diterima dua kali ganda daripada musim pertama. 

"Kita berharap mendapat lebih banyak penyertaan usahawan daripada Wilayah Malaysia Timur kerana pada musim pertama seramai 90 usahawan daripada Sabah dan Sarawak memohon untuk menyertai program Superb," katanya. 

Bestari Abrar berkata, Teraju menerima penyertaan memberangsangkan iaitu 1,791 daripada usahawan pada musim pertama yang berakhir pada 28 April lalu. 

"Kita juga mengadakan klinik Superb di 21 lokasi terpilih di lima koridor ekonomi seluruh negara sebelum musim kedua bermula pada 19 Jun depan," katanya dalam satu temubual bersama media di Menara Surian pada Jumaat. 

Program Superb merupakan sebuah program yang diwujudkan khusus untuk membantu usahawan Bumiputera dengan mengetengahkan idea perniagaan berkualiti tinggi bagi merebut geran sebanyak RM100 juta yang disediakan untuk tempoh tiga tahun ini.

Peserta yang terpilih menyertai program tersebut kemudiannya akan disenarai pendek oleh Teraju untuk ke peringkat seterusnya sebelum dipilih sebagai pemenang oleh juri profesional.





Superb, Teraju, Bestari Abrar

Artikel Berikut

Artikel Lain