PETALING JAYA: Unit Anti Keganasan Bukit Aman kini memperhebatkan usaha memburu saki baki anggota kumpulan militan Al-Shabaab yang disyaki menyusup ke negara ini menggunakan visa pelajar dan mendaftar di kolej tempatan. Unit khas di ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu menganggap penahanan lelaki warga Somalia itu adalah sebahagian daripada sejumlah besar anggota kumpulan pengganas itu dan kini pihaknya melancarkan operasi memburu sekurang-kurannya lima ahli kumpulan militan itu. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pemburuan itu untuk memastikan Malaysia tidak menjadi lokasi latihan untuk kumpulan militan. "Malaysia tidak pernah berkompromi dalam hal berkaitan militan. Langkah untuk memburu penggnas ini memang dilakukan berterusan. "Beberapa lagi individu diburu, ada dalam kalangan mereka yang sudah berkahwin dengan rakyat tempatan dan mula berkongsi ideologi," katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke Penjara Kamunting, Jumaat. Beliau mengulas penangkapan suspek berusia 34 tahun itu yang dikehendaki oleh polis antarabangsa kerana disyaki anggota kumpulan pengganas Al-Shabaab, di Selangor. Ahmad Zahid berkata, lelaki asing itu dipercayai memasuki negara ini menggunakan visa pelajar dua tahun lalu dan kini menuntut di sebuah kolej swasta. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin, berkata polis menggunakan semua sumber sedia ada untuk mengesan dan menahan baki anggota kumpulan itu. "Matlamat utama adalah untuk menahan individu yang berbahaya ini," katanya kepada The Star, Jumaat. Sementara itu, sumber yang terbabit secara langsung dalam operasi itu, berkata anggota pengganas itu melanjutkan pengajian di kolej terbaik di negara ini dengan menggunakan identiti dan dokumen palsu. "Besar kemungkinan kumpulan itu cuba mewujudkan pangkalan di sini dan kami percaya pihak berkuasa di Afrika dan Eropah menjejaki pergerakan mereka menyebabkan sebahagian daripadanya masuk ke negara ini," katanya. Ditanya kenapa pihak terbabit memilih Malaysia, sumber itu berkata, ia kerana adanya persepsi bahawa negara ini sentiasa mengalu-alukan kehadiran tetamu asing. "Tahap kawalan keselamatan di pintu masuk masih lemah dan ia menyebabkan berlaku kemasukan individu seperti pengganas ini. Tiba masanya untuk menguatkuasakan sistem yang lebih ketat," katanya. Setakat ini, pemantauan polis mendapati tiada sebarang tanda kumpulan militan itu cuba merekrut anggota di kalangan rakyat tempatan atau membentuk sebarang kerjasama dengan militan tempatan yang ditahan sebelum ini.