Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming berkata, "Calon DAP itu dijangka diumumkan oleh setiausaha agung parti, Lim Guan Eng sebelum 19 Mei, iaitu tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil Teluk Intan".
Dalam satu kenyataan hari ini, Nga berkata mesyuarat DAP negeri di sini semalam memutuskan melantik setiausahanya Wong Kah Woh, yang juga Adun Canning sebagai pengarah kempen.
Timbalan pengerusi DAP negeri V. Sivakumar dan setiausaha pemuda DAP negeri Howard Lee dilantik sebagai pengerusi bersama jawatankuasa kerja pilihan raya kecil itu.
Kerusi Parlimen Teluk Intan kosong berikutan kematian anggotanya Seah Leong Peng, 48, akibat kanser.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-13, Seah mengalahkan Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dari Barisan Nasional (BN) dan calon bebas K. Moralingam dengan majoriti 7,313 undi.