YAN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berharap pemantauan dan tindakan tegas diambil terhadap individu yang terlibat dengan sindiket nikah ekspres kerana aktiviti itu memberi kesan sangat besar kepada institusi kekeluargaan. Katanya, paling dibimbangkan adalah soal kesahihan pernikahan itu, yang memerlukan tindakan segera pihak yang terlibat dengan soal agama Islam terutama di negeri-negeri. "Saya dah teliti hal berkaitan pernikahan seperti ini di Kedah. Yang paling bimbang soal kesahihan pernikahan, soal sah atau tidak. "Kalau tak sah implikasinya cukup besar dari sudut hukum," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan ulang tahun ke-100 Sekolah Kebangsaan Sungai Limau di sini hari ini. Jamil Khir berkata ramai yang tidak menyedari tindakan mereka itu salah dari segi hukum dan hanya menyedari apabila sijil nikah mereka tidak dapat dikeluarkan. "(Akibatnya) anak yang dilahirkan tak boleh didaftarkan sama ada kelahiran atau untuk dibinkan. Ada kesan...tak dapat belajar, tak boleh dapat IC (kad pengenalan), nak dapat harta warisan," katanya. Baru-baru ini, Jawatankuasa Badan Bertindak Anak-anak Kariah Masjid Tunku Abdul Rahman Putra di Kuala Kedah dekat sini, membuat laporan polis berhubung dakwaan terdapat sindiket nikah poligami di masjid itu sejak beberapa tahun lalu.