suria

PRK Bukit Gelugor: Ramkarpal Diumum Calon DAP

GEORGE TOWN: DAP mengumumkan Ramkarpal Singh Deo sebagai calon parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor yang akan berlangsung 25 Mei ini.

Anak ketiga mendiang Karpal Singh itu akhirnya dipilih walaupun ada pihak menganggap beliau bukan calon yang paling layak.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengumumkan pemilihan peguam berusia 38 tahun yang akan mempertahankan kerusi bapanya itu.

Pengumuman itu dibuat selepas majlis pelancaran pusat operasi PRK Bukit Gelugor parti itu di Jalan Masjid Negeri, Sabtu.

Ramkarpal dijangka berdepan dengan pertandingan enam penjuru.

Bagaimanapun, tanda tanya mengenai calon yang akan merebut kerusi itu akan terjawab pada hari pencalonan pada Isnin.

Pengerusi MCA Pulau Pinang, Datin Paduka Chew Mei Fun berkata, parti itu akan membuat pengumuman mengenainya dalam masa terdekat.

"Sabar, saya tidak kata parti ini tidak akan bertanding," katanya pada sidang media, Jumaat.

Difahamkan, Jawatankuasa MCA Negeri itu mengadakan mesyuarat petang Jumaat untuk membincangkan pelbagai perkara berkaitan PRK Bukit Gelugor.

Naib Presiden Parti Cinta Malaysia, Datuk Huan Cheng Guang berkata, beliau akan bertanding dan akan mengetengahkan lima isu termasuk hudud serta masalah tempatan semasa berkempen.

"Saya tahu tidak akan menang, tetapi berharap dapat memperoleh sekurang-kurangnya 12 peratus daripada keseluruhan undi supaya tidak akan kehilangan deposit," katanya.

Calon lain yang menyuarakan hasrat merebut kerusi berkenaan adalah pesara yang juga ahli PAS Gombak, Selangor, Mohamed Nabi Bux Mohd Nabi Abd Sathar, 63.

"Saya harap PAS akan membenarkan saya bertanding atas tiket parti, jika tidak saya akan bertanding sebagai calon Bebas," katanya.

Hasrat bertanding turut diumumkan pengendali inap desa, Mohd Yacoob Mohd Noor, 25 yang lebih dikenali sebagai Yacoob Bebas.

Beliau pernah memperoleh hanya 141 undi sebagai calon Bebas kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Pinang pada Pilihan Raya Umum lalu.

Selain itu, parti baru yang dikenali sebagai Penang Front Parti (PFP) juga dijangka meletakkan calon mereka.


Artikel Lain