suria

Program Transformasi Perlu Masa Untuk Dicapai - Najib

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penilaian sama ada berjaya atau tidak segala dasar dan program pentadbirannya untuk membawa Malaysia menjadi negara maju pada 2020 tidak sewajarnya dibuat sekarang tetapi pada akhir tempoh pentadbirannya.

Perdana menteri berkata pelaksanaan dasar dan program untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi memerlukan masa bagi membuahkan hasil. 

Oleh demikian, beliau meminta rakyat memberi masa kepada dasar dan program tersebut berjalan seperti yang dirancang dan bukan mengambil tindakan-tindakan yang boleh menggagalkan cita-cita tersebut.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas kritikan sesetengah pihak kononnya pentadbiran beliau tidak mempunyai hala tuju negara yang jelas selepas memenangi pilihan raya umum ke-13 (PRU13). 

Pengkritiknya juga mendakwa dasar serta program transformasinya belum menampakkan hasil yang ketara lebih empat tahun selepas Najib memperkenalkan program dan dasar itu sebaik sahaja mengambil alih teraju kepimpinan kerajaan daripada Datuk Seri (sekarang Tun) Abdullah Ahmad Badawi, setahun selepas PRU 2008.
 
"Saya ambil alih tampuk kepimpinan negara pada 2009. Apa janji saya, janji saya pada rakyat ialah untuk membawa negara jadi negara maju pada 2020.
 
"Jadi kita baru di tahun 2014. Bagi saya tempoh masa untuk kita membuktikan bahawa apa yang telah kita janji pada rakyat dapat kita penuhi," kata Najib dalam rancangan Ruang Bicara Khas Bersama Perdana Menteri terbitan Bernama TV yang disiarkan melalui saluran Astro 502 malam ini.

Perdana menteri ditemu ramah selama sejam oleh Ketua Pengarang Bernama Datuk Zulkefli Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama TV Datuk Ibrahim Yahaya dan Penolong Pengarang Jamaluddin Muhammad sempena ulang tahun Umno ke-68, di Pejabat Perdana Menteri. 

Beliau berkata banyak lagi usaha akan dilakukan dalam tempoh baki enam tahun ini sasaran itu hendak dicapai walaupun terdapat tanda-tanda positif ke arah pencapaian matlamat tersebut sekarang.

Negara, katanya, telah mencapai kadar pertumbuhan ekonomi yang amat memuaskan 4.7 peratus, walaupun dalam suasana ekonomi dunia tidak menentu tahun lepas, dan menjangkakan pertumbuhan yang lebih baik pada tahun ini. 

Dengan mandat majoriti yang diberikan oleh rakyat, Najib berharap rakyat dapat memberi peluang kepada kerajaannya mentadbir negara tanpa menimbulkan banyak masalah dalam usaha mencapai cita-cita itu.

Menjawab soalan berhubung kritikan kononnya beliau banyak memperkenalkan dasar dan program transformasi semasa penggal pertama pentadbirannya tetapi tidak semasa penggal keduanya ketika ini, Najib berkata program transformasinya menjangkau sehingga 2020.
 
"Takkan sampai 2014, saya nak kata Wawasan 2020 dah tak ada lagi. Jadi maknanya dengan komitmen dan sokongan yang diberikan kepada saya dalam penggal kedua ini, saya akan teruskan sehingga Wawasan 2020 tercapai, sehingga hasrat kita menjadi negara maju jadi kenyataan.
 
"Visi menjangkau satu jangka masa yang panjang. Jadi takkanlah dalam tempoh empat tahun kita dah nak ganti dengan visi yang baharu. Ini satu pertimbangan yang tidak rasional," katanya.

Pentadbiran Najib memperkenalkan Program Transformasi Kerajaan (GTP) pada 2009 dengan tujuh tonggak utama termasuk membanteras rasuah, meningkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah dan mempertingkatkan pengangkutan awam bandar berdasarkan prinsip 1Malaysia, 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'.

Program Transformasi Ekonomi (ETP) pula diperkenalkan pada 2010 untuk mentransformasi Malaysia ke arah sebuah negara berpendapatan tinggi dengan pendapatan per kapita Malaysia daripada RM23,700 pada 2009 kepada lebih RM48,000 pada 2020 dan program itu memfokuskan kepada 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA).

Beliau juga memperkenalkan program-program ke arah mewujudkan iklim pelaburan negara yang baik serta memudahkan urusan perniagaan di negara ini.

Selain itu, pentadbiran Najib juga melakukan transformasi politik dan sosial termasuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) iaitu penahanan tanpa perbicaraan serta membenarkan perhimpunan secara aman.

Dalam menarik perhatiannya mengenai ISA, Najib menegaskan kerajaan berdiri teguh dengan keputusannya memansuhkan undang-undang itu berdasarkan kehendak majoriti rakyat walaupun terdapat desakan kumpulan tertentu yang sebenarnya mewakili suara minoriti. 

Kepelbagaian pendapat juga terserlah sejajar dengan perkembangan teknologi maklumat semasa asalkan ia tidak melampaui batasan tertentu semasa pentadbiran beliau.

Menguatkan lagi pendiriannya berhubung kedua-dua isu itu, Najib berkata seseorang tidak akan ditangkap semata-mata kerana mempunyai pandangan berbeza dengan kerajaan.

Perdana menteri yang turut mempunyai akaun Facebook dan Twitter berkata beliau sendiri sedia menerima kritikan membina orang ramai yang dibuat secara rasional dan beradab.
 
"Kalau cakap karut marut, mencaci, mengutuk, saya anggap mereka itu lunatic fringe atau orang ini yang tak ada adab, atau tidak rasional," katanya.

Perdana menteri turut menyangkal tanggapan pengkritik kononnya kesabarannya, keterbukaannya dan dasar liberalnya sebagai satu kelemahan. 
 
"Tidak...tidak saya tak anggap itu kelemahan. Kalau kita tanya apakah mereka mahu satu keadaan, ada sahaja yang mengeluarkan pendapat, kita tangkap di bawah ISA. Apakah itu yang kita nak? Tentu sekali majoriti rakyat Malaysia tak mahu keadaan sedemikian," katanya.
 
Pentadbirannya yang berlatarbelakangkan BN tidak mendapat mandat 2/3; era keterbukaan; kepelbagaian pendapat; cabaran menjadi negara maju di samping cabaran-cabaran semasa negara, Najib berkata dengan majoriti kerusi yang diperoleh kerajaannya pada pilihan raya umum Mei tahun lepas sudah memadai untuk mentadbir negara ini.
 
"Kalau kita tidak ada perangkap 'mental block' tersebut saya percaya majoriti yang kita ada ini, kita boleh mentadbir negara kita sebab yang cuma kita tak boleh lakukan adalah perubahan perlembagaan sahaja," katanya.

Najib berkata kerajaan telah membuktikan segala dasar dan undang-undang yang dibuatnya boleh diluluskan oleh Parlimen dengan majoriti yang selesa.
 
"Jadi ia tidak menggugat kewibawaan pentadbiran kita. Ia masih boleh kita lakukan dengan licin, cuma ia satu mental block pada kita. Jadi saya harap kita semua akan beri tumpuan kepada kerja-kerja untuk membangunkan negara kita," katanya.

Dalam bual bicara itu, Najib yang juga Presiden Umno dan Pengerusi BN, turut menyentuh proses transformasi yang dilalui oleh Umno dan cabaran memperkukuh sebahagian daripada parti komponen Barisan Nasional.

Rasionalisasi ekonomi dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) serta hubungan Malaysia dengan kuasa-kuasa besar dunia turut dikupas.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain