KUALA LUMPUR: Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan tertangkapnya tiga lelaki warga Iran pada minggu pertama bulan ini dan merampas dadah jenis Syabu bernilai RM3.16 juta. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata tiga lelaki itu berumur antara 23 dan 42 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan sebuah kondominium di Bukit Kerinchi, di sini. "Pada 5 Mei lepas, kami telah menahan seorang lelaki warga Iran yang sedang membawa dua buah beg beroda kira-kira pukul 3.45 petang di balai ketibaan KLIA. "Hasil pemeriksaan polis, kita telah menemui dadah Syabu seberat 2kg yang disorokkan di ruangan khas dalam beg yang berisi pakaian itu," katanya kepada pemberita di sini, Isnin. Beliau berkata susulan penahanan lelaki itu, polis merampas enam karung guni yang mengandungi pelbagai jenis pil disyaki dadah berbahaya dalam sebuah kargo yang baru tiba dari Pakistan di KLIA pada 7 Mei lepas. "Pil-pil psikotrapik yang dirampas berjumlah 536,050 biji itu kami percaya mengandungi dadah jenis Ephedrine atau lebih dikenali sebagai Syabu," kata Noor Rashid. Polis turut membongkar makmal memproses dadah apabila melakukan serbuan di kondominium itu pada pukul 10.40 pagi, Jumaat lepas, dan merampas sebuah kotak mengandungi enam kepingan bulatan kaca berwarna hijau anggaran berat 1.3kg yang disyaki dadah Syabu dan 25kg serbuk putih disyaki dadah, katanya. "Hasil penguatkuasaan JSJN dengan pasukan Khas Taktikal dan Perisikan Narkotik (Sting), polis turut menemui beberapa bahan kimia seperti satu tin cecair Acetone seberat 17 liter, tujuh botol cecair Toulene, dua balang kaca, Sealer dan beberapa peralatan yang disyaki digunakan untuk memproses dadah," katanya sambil menambah makmal itu baru beroperasi selama sebulan. Menurutnya, hasil daripada operasi ini, polis berjaya menyita wang tunai berjumlah RM13,800, US$2,100 dan Rial Iran 1.26 juta. Katanya kesemua suspek ditahan reman selama seminggu untuk siasatan mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. Noor Rashid berkata polis tidak menolak kemungkinan kesemua suspek mengenali antara satu sama lain tetapi beroperasi secara berasingan dan polis percaya dadah itu untuk pasaran tempatan.