KUALA LUMPUR: Insiden kekecohan semasa pemilihan cabang-cabang PKR di Selangor semalam menggambarkan parti pembangkang itu "cakap tak serupa bikin" berhubung proses pemilihan yang telus, bersih, cekap dan berwibawa. Ini berikutan sebahagian anggota PKR sendiri tidak berpuas hati dengan proses pemilihan itu walaupun PKR sering melemparkan tuduhan sedemikian kepada Suruhanjaya Pilihan Raya apabila mengendalikan sesuatu pilihan raya. Timbalan Ketua Umno Bahagian Gombak Datuk Megat Zulkarnain Omar Din berkata: "Selama ini SPR sering dipersalahkan dari segi ketelusan dan sebagainya, namun insiden itu (pemilihan PKR semalam) jelas menunjukkan PKR sendiri yang menghadapi masalah,". Beliau berkata kekecohan itu memberi ruang dan peluang kepada rakyat untuk menilai semula kredibiliti PKR. Menurutnya parti politik yang mempunyai kredibiliti ialah parti yang mengamalkan apa yang dikatakan dan tidak hanya tahu mencari kesalahan parti lain demi meraih sokongan rakyat. "Rakyat boleh nilai sendiri sejauh mana serius mereka mahu membela nasib rakyat. Mereka sendiri bergaduh, berbalah sesama sendiri dan menampakkan tiada konsep demokrasi di dalam parti mereka," katanya Megat Zulkarnain berkata demikian ketika mengulas mengenai 12 daripada 22 pemilihan cabang PKR di Selangor terpaksa dibatalkan semalam atas pelbagai sebab termasuk dakwaan wujudnya unsur penipuan dan ketidaktelusan dalam proses pengundian. Pemilihan itu yang ditangguhkan ke tarikh lain membabitkan Cabang Kuala Selangor, Sabak Bernam, Klang, Kota Raja, Shah Alam, Kapar, Sungai Besar, Subang, Hulu Langat, Hulu Selangor, Sepang dan Selayang Pengarah Islamic Renaissance Front (IRF) Dr Ahmad Farouk Musa pula berkata insiden itu menggambarkan PKR belum matang. Beliau menyifatkan insiden itu sebagai kejadian yang tidak sepatutnya berlaku dan mencemarkan kredibiliti PKR. "Jika ada sebarang kekeliruan, masih boleh dibincangkan dengan cara yang baik dan bukan membuat kecoh sebegitu. "Ini menunjukkan ada sikap mahu merebut kuasa, tidak puas hati sesama sendiri, gila kedudukan serta sikap negatif anggota parti," katanya. Senator Datuk Boon Som Inong pula menganggap PKR sebagai parti yang tidak terurus. Keadaan itu tidak selari dengan kenyataan para pemimpin PKR yang sering mendakwa mereka telus dan bersih.