suria

27 Cabang Batal, JPP Anggap Pemilihan Berjaya

PETALING JAYA: Walaupun pemilihan di 27 cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) di seluruh negara terpaksa dibatalkan ekoran pelbagai dakwaan salah laku, Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) parti itu tetap mempertahankan prosesnya yang dianggap paling berjaya.

Malah Pengerusi JPP, Datuk Johari Abdul turut menolak dakwaan beberapa pihak termasuk kepimpinan tertinggi parti itu sendiri yang menyifatkan proses pemilihan kali ini lemah dan merumitkan.

Namun Ahli Parlimen Sungai Petani itu memandang remeh pandangan berkenaan kerana menyifatkan insiden kekecohan di beberapa cabang berpunca daripada keterujaan ahli parti untuk terlibat dalam pemilihan kali ini.

"Pemilihan kali ini sangat berjaya. Saya katakan ia berjaya kerana ramai masuk menjadi calon. Kira-kira 10,000 calon semuanya...itu adalah tanda aras (kejayaan) saya dengan parti sebesar ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini, Isnin.

Selain itu Johari turut mempertahankan pendirian JPP sebelum ini bahawa PKR tidak memerlukan sokongan pihak ketiga termasuk pemantau bebas mahupun penglibatan anggota keselamatan bagi melancarkan proses pemilihannya.

"Kita tak perlukan bantuan pihak ketiga, kita boleh lakukan sendiri. Kami tak fikir perlu melibatkan pihak berkuasa," katanya.

Menerusi sidang media yang sama Johari turut mengumumkan sepuluh cabang PKR di Selangor yang disahkan batal atas pelbagai alasan iaitu Hulu Langat, Sabak Bernam, Sungai Besar, Subang, Klang, Selayang, Kota Raja, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Kapar.

Malah pemilihan parti itu turut diselubungi masalah apabila enam cabang lagi masih belum selesai melakukan pengiraan undi walaupun proses pengundian berakhir pada pukul 5 petang Ahad.

Bukan itu sahaja, enam cabang berkenaan turut terpaksa melakukan pengiraan kertas undi di Ibu Pejabat PKR di sini dengan pemantauan rapi wakil JPP.

Enam cabang berkenaan termasuk di cabang calon kontroversi, Mohamed Azmin Ali iaitu Gombak, Puchong, Kelana Jaya, Petaling Jaya Selatan, Ampang dan Kuala Langat.

Artikel Berikut

Artikel Lain