suria

Hishammuddin Akan Bincang Fasa Baharu Operasi MH370 Di Kabinet

Hishammuddin (kanan) menerima kunjungan hormat Ray Griggs di pejabatnya di Wisma Pertahanan di Kuala Lumpur, Isnin. Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Malaysia akan berbincang mengenai perkongsian kos operasi mencari pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang, kini memasuki fasa pencarian baharu dan lebih lama.

"Sebelum ini, tidak ada sebarang perbincangan mengenai dolar dan sen (kos), tetapi untuk berlaku adil kepada rakan perkongsian kita (dalam misi pencarian), adalah tiba masanya untuk kita melihat perkara itu dengan lebih serius kerana misi kita adalah jangka panjang," kata Pemangku Menteri pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata, beliau akan membawa perkara itu dan membentangkan rancangan berkenaan dalam meneruskan pencarian MH370 di Kabinet pada Rabu.

"Perkara utama yang akan dibentangkan termasuk hasil mesyuarat menteri antara Malaysia, Australia dan China yang sangat positif dan membina," katanya selepas pertemuan dengan Ketua Tentera Laut Diraja Australia, Laksamana Madya Ray Griggs semasa lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia.

Hishammuddin turut berkata, sebarang permintaan untuk mendapatkan maklumat mengenai MH370 perlu diutarakan kepada panel di kalangan pakar yang menyiasat mengenai kehilangan pesawat itu termasuk Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan, Cawangan Penyiasatan Kemalangan Udara UK dan Jabatan Siasatan Kemalangan Pesawat China. 

"Biar panel tersebut yang membuat keputusan. Jika ia tidak menjejaskan siasatan mereka, kita boleh untuk memaklumkannya," katanya bagi mengulas mengenai permintaan baru-baru ini oleh keluarga mangsa MH370 supaya Kerajaan Malaysia mengeluarkan maklumat data Inmarsat.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain