KUALA LUMPUR: Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) bekerjasama rapat dengan semua kerajaan negeri sebagai persiapan untuk menghadapi fenomena El Nino. Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, Jawatankuasa Krisis Air yang dipengerusikan timbalan beliau Datuk Seri Mahdzir Khalid diberi tugas memantau keadaan dan mengambil langah sewajarnya untuk meminimumkan kesan El Nino di negara ini. "Kami sudah menasihati semua kerajaan negeri supaya mengambil langkah sewajarnya bagi menghadapi fenomena El Nino. Kami bekerjasama rapat dengan Jabatan Meteorologi dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar untuk memantau keadaan serta menjalin hubungan dengan badan yang membuat pemantauan tentang perubahan iklim di rantau ini," katanya kepada Bernama di sini. Ongkili berkata, kementerian itu juga akan mengeluarkan nasihat kepada semua pihak berkuasa negeri supaya memeriksa paras air di kawasan takungan dan empangan masing-masing untuk memastikan bekalan air mencukupi hingga Oktober ini. Kata beliau, ini kerana adalah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri untuk memastikan semua loji rawatan air mereka mempunyai bekalan air mentah yang mencukupi. Kementerian itu juga memantau usaha kerajaan Selangor untuk menambah jumlah simpanan air mentah di negeri itu. Ongkili berkata demikian bagi mengulas laporan Bernama pada 7 Mei mengenai ramalan Pejabat Meteorologi United Kingdom tentang kemungkinan besar Asia Tenggara akan dilanda El Nino pertengahan tahun ini. Bagaimanapun, pakar cuaca tempatan tidak dapat mamastikan sama ada Malaysia akan terjejas oleh fenomena itu, tetapi sesuatu yang tidak dapat dielakkan kata mereka ialah ia akan mengakibatkan negara ini mengalami musim kering selama kira-kira enam bulan. Sejajar dengan itu, mereka menasihati pihak berkuasa berkenaan supaya membuat persiapan lebih awal bagi menghadapi El Nino untuk mengelak berlakunya krisis air yang serius. El Nino merujuk kepada pemanasan permukaan laut yang berlaku selama enam bulan berturut-turut dalam setiap dua hingga empat tahun di timur Lautan Pasifik. Fenomena ini boleh mencetuskan satu rantaian perubahan iklim di seluruh dunia dan menyebabkan hujan lebat serta kemarau panjang di sesetengah kawasan. Sebagai langkah awal untuk menghadapi fenomena itu, Ongkili menasihati orang ramai supaya mengurangkan penggunaan air. "Oleh kerana El Nino akan menjejaskan semua orang, maka kami memerlukan semua pihak, termasuk media supaya sentiasa mengingatkan orang ramai supaya memulihara air. "Orang ramai perlu mengurangkan penggunaan air. Jika tidak, air di kawasan takungan akan habis tidak lama lagi," katanya.