KUALA LUMPUR: Keputusan menggantikan Datuk Seri Ahmad Said dengan Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman sebagai Menteri Besar Terengganu yang baharu sudah lama dibuat, kata Ketua Penerangan Umno Datuk Ahmad Maslan. Katanya notis yang diberikan kepada Ahmad Said untuk berundur adalah terlalu panjang dan ia bukanlah tindakan terburu-buru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Justeru, katanya tidak sepatutnya timbul isu-isu tentang ketidakprihatinan perdana menteri terhadap Ahmad Said berkenaan majlis perkahwinan anaknya baru-baru ini. "Kita terima jemputan perkahwinan anak Datuk Ahmad Said pada 10 Mei di Kuala Terengganu. Pada 17 Mei itu adalah kenduri menyambut menantu, dan bukanlah kenduri yang pertama. "Satu lagi, perkara ini sudah diberitahu lama, sebenarnya kita boleh sesuaikan tarikh-tarikh untuk program peribadi kita, supaya tidak timbul spekulasi seperti yang terjadi baru-baru ini," katanya kepada pemberita selepas Taklimat Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) di sini, Rabu. Ahmad Maslan berharap agar Ahmad Said, yang turut disifatkan sebagai sahabatnya, kembali kepada rasional dan jangan terlalu mengikut emosi. "Kita melaksanakan kerja untuk rakyat dan janganlah kepentingan peribadi mengatasi kepentingan parti dan janganlah kepentingan jawatan mengatasi kepentingan perjuangan," katanya. Mengulas mengenai kesan negatif kepada Barisan Nasional daripada isu ini, Ahmad Maslan berkata kesan tersebut tidak terlalu ketara kerana isu ini dapat diselesaikan dalam tempoh kurang daripada 48 jam sahaja. "Kesan negatif memang ada, tetapi kurang. Sekiranya masalah ini berlanjutan hingga dua minggu misalannya, mungkin kesan negatifnya akan lebih ketara. "Namun, ia hanya bertahan untuk tempoh 48 jam sahaja, maka saya kira ia tidak akan memberikan kesan yang besar (kepada parti)," katanya. Beliau turut berharap semua pemimpin, terutamanya di peringkat bahagian, parlimen dan Dewan Undangan Negeri supaya memberi sokongan dan kepercayaan menteri besar yang baharu.