suria

PRK Bukit Gelugor: PCM Lancar Manifesto Mensejahterakan Rakyat

Datuk Huan Cheng Guan (dua dari kiri) menunjukkan manifesto PSM yang dilancarkan sempena PRK Bukit Gelugor di Air Itam pada Rabu.

GEORGETOWN: Parti Cinta Malaysia (PCM) pada Rabu melancarkan manifesto yang mengandungi 10 perkara utama yang akan diberi tumpuan dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Buki Gelugor, 25 Mei ini.

Bertema 'Cintai Pulau Pinang', manifesto tersebut dilancarkan Naib Presidennya, Datuk Huan Cheng Guan di pusat khidmat parti itu di Air Itam pada Rabu.

Menerusi manifesto tersebut, PCM berikrar untuk bukan sahaja mahu membawa pembangunan tetapi mensejahterakan rakyat di negeri ini.

Antara yang terkandung dalam manifesto itu adalah memperhebatkan usaha memerangi rasuah dikalangan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat dengan menguatkuasakan undang-undang yang ketat, memerangi jenayah dan masalah sosial di kalangan remaja di negeri ini.

Malah, PCM turut berjanji akan menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas menerusi pelan induk pengangkutan yang berkesan selain menaik taraf rumah pangsa, pasar dan kemudahan awam.

PCM turut mengumumkan untuk melaksanakan audit yang menyeluruh berkenaan tanah kerajaan untuk memastikan rakyat Pulau Pinang menyedari tentang aset negeri dan segala maklumat yang diperlukan untuk ketelusan maksimum.

Selain itu, PCM turut berjanji akan membawa lebih banyak dana untuk membangunkan Pulau Pinang dan membina lebih banyak projek perumahan kos rendah bagi golongan yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Huan berkata, beliau juga akan memastikan pembangunan di kawasan cerun bukit dihentikan kerana aktiviti tidak bertanggungjawab itu memberi kesan kepada alam sekitar, penduduk dan kehidupan marin.

Untuk memudahkan rakyat menyuarakan masalah mereka, Huan bersedia membuka tiga pusat khidmat masing-masing di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Delima, Air Itam dan Paya Terubong yang terletak dalam Parlimen Bukit Gelugor sekiranya diberikan mandat oleh rakyat pada PRK kali ini.

Bukit Gelugor, PCM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain