suria

PRK Teluk Intan: Berjasa, DAP Sah Bertanding

PETALING JAYA: Dua parti politik mengesahkan akan meletakkan calon masing-masing bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan pada 31 Mei ini.

DAP akan mengumumkan calonnya Sabtu ini, manakala Barisan Jamaah Islamiyah SeMalaysia (Berjasa) pula akan bermesyuarat pada Jumaat untuk menentukan calon yang mewakilinya.

Di GEORGE TOWN, Penasihat DAP Lim Kit Siang memaklumkan parti itu akan bertanding bagi mempertahankan kerusi yang dimenangi calonnya pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 lalu.

Di IPOH pula, Presiden Berjasa, Mohd Yusuf Harun berkata, calon akan diperkenalkan Majlis Pengenalan Calon Berjasa dalam masa terdekat.

Beliau berkata, parti itu yang selama ini menjadi pemerhati pasif kepada senario politik semasa, mengambil keputusan untuk menyertai gelanggang politik secara aktif, proaktif dan inovatif.

PRK Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 19 Mei sebagai hari penamaan calon, manakala pengundian awal 27 Mei dan hari pengundian pada 31 Mei.

Pada PRU lalu, Leong Peng menewaskan calon Barisan Nasional Datuk Mah Siew Keong dan calon bebas Moralingam Kannan dengan majoriti 7,313 undi.


PRK Teluk Intan, Berjasa, DAP

Artikel Lain