suria

Penyelesaian Cepat Kemelut Di Terengganu Bukti Ketegasan PM - Idris Jusoh

Idris bercakap dengan pemberita selepas menghadiri Sidang Kemuncak Pendidikan Malaysia ke-18 2014 di Petaling Jaya, Khamis.
PETALING JAYA: Kemelut politik di Terengganu yang berjaya diselesaikan dalam tempoh kurang daripada 48 jam merupakan bukti ketegasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata semua pihak wajar menjadikan episod itu sebagai iktibar dan peringatan bahawa perdana menteri boleh bertindak tegas dalam hal tertentu jika dirasakan perlu.

Idris, yang juga Anggota Majlis Tertinggi Umno, berkata tindakan Najib menukar menteri besar Terengganu bukan dibuat secara terburu-buru, sebaliknya ia dilakukan selepas berakhir tempoh untuk Datuk Seri Ahmad Said berundur selaku menteri besar.

"Ada perkara perdana menteri boleh fleksibel. Dalam hal ini, bila tempoh lanjutan itu dah berakhir, barulah dia (Najib) bertindak. Ketegasan perlu dalam kepimpinan.

"Kalau perdana menteri tak tegas banyak perkara boleh berlaku," kata Idris kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Pendidikan Malaysia ke-18 2014 di sini Khamis.
 
Ahmad pada Isnin lepas meletakkan jawatan menteri besar Terengganu bagi membolehkan pelantikan menteri besar baharu.

Pada sebelah malamnya, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi dan Inovasi, Tenaga, Teknologi Hijau dan Air negeri Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dilantik dan mengangkat sumpah sebagai menteri besar yang baharu di hadapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Ahmad, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, pada hari sama mengumumkan keluar Umno dan menjadi wakil rakyat Bebas, diikuti Ghazali Taib (Ajil) dan Roslee Daud (Bukit Besi).

Bagaimanapun, mereka kembali ke pangkuan Umno dan isu itu dianggap selesai semalam.

Artikel Lain