suria

Tiada Tekanan Daripada Teresa Kok Berhubung Isu Azan - Bekas Setiausaha Jawatankuasa Masjid

Teresa Kok
KUALA LUMPUR: Bekas setiausaha jawatankuasa masjid mengekalkan keterangannya di Mahkamah Tinggi bahawa tidak ada tekanan daripada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berhubung isu azan.

Ahmad Redzuan Samsudin, 34, yang ketika itu merupakan setiausaha jawatankuasa masjid Kota Damansara pada Khamis berkata Kok tidak pernah memberikan sebarang tekanan kepada mereka untuk berhenti menggunakan pembesar suara untuk melaungkan azan.

Kepada soalan peguam utama Kok, S.N Nair, dia berkata tidak ada bantahan atau petisyen yang dikeluarkan oleh Kok atau lain-lain orang bukan Islam dari Damansara untuk melarang atau memperlahankan kelantangan laungan azan di masjid.

Katanya, pengerusi jawatankuasa masjid, Basri Daud telah membuat laporan polis pada 10 September 2008 mempertikaikan kenyataan yang disiarkan oleh sebuah akhbar berbahasa Melayu memetik bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohd Khir Toyo membuat dakwaan terhadap tekanan dan petisyen orang bukan Islam mengenai isu azan.

"Laporan itu adalah fitnah .

"Sistem pembesar suara di masjid baru kami yang mula beroperasi pada Ogos 2008 dipanah petir.

"Akibatnya, kami tidak boleh menggunakan sistem pembesar suara selama tiga hari untuk melaungkan azan kerana masalah teknikal," saksi keenam memberi keterangan dalam saman sivil yang difailkan oleh Kok pada 2009 terhadap Menteri Dalam Negeri dan tiga yang lain.

Katanya, polis telah menyoal siasat dua orang ahli jawatankuasa masjid termasuk dirinya dan mengambil keterangan mereka seminggu kemudian.

"Kami terpaksa menunggu kontraktor untuk membaiki dan meminjam sebuah (pembesar suara) dari sekolah untuk kegunaan dalaman," katanya.

Kepada soalan Peguam Kanan Persekutuan Mohd Abazafree Mohd Abbas, katanya, dia membaca Utusan Malaysia dan menganggap isu azan sebagai serius.

Katanya, kenyataan penerbitan itu telah menimbulkan kemarahan ahli jawatankuasa masjid dan jemaah.

Ahli Parlimen Kota Raja Siti Mariah Mahmud, 56, berkata beliau juga membuat laporan polis pada 11 September 2008 selepas membaca kenyataan yang sama.

"Saya mengambil masa dua hari untuk memanggil orang ramai dan mencari kebenaran mengenai apa yang dikatakan Khir Toyo. Tidak ada perbincangan (pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor) untuk menghentikan azan ," tambah beliau.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Su Geok Yiam diteruskan.

Dalam saman yang difailkan pada 13 Mac 2009 , Kok telah menamakan bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, Pegawai Kanan Cawangan Khas DSP E Kim Tien dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Teresa Kok, azan, Khir Toyo

Artikel Lain