PETALING JAYA: Calon Ketua PKR Cabang Kuala Selangor, S.Manikavasagam memohon supaya Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) memberi peluang kepadanya untuk terus bertanding dalam pemilihan parti kali ini.
Beliau berkata, sehubungan itu, surat rayuan telah dihantar kepada JPP bagi mendapat pertimbangan mengenai rayuannya selain keahlian beliau tidak digantung.
"Dengarlah penjelasan dahulu sebelum gantung dan berilah saya peluang untuk bertanding dalam pemilihan jawatan ini.
"Ini demokrasi, benarkan saya bertanding. Saya harap JPP beri pengadilan sewajarnya," katanya kepada para pemberita di luar Ibu Pejabat PKR di sini, Jumaat.
Lembaga Disiplin PKR pada Khamis menggantung keahlian bekas Ahli Parlimen Kapar itu kerana mendakwa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terlibat dalam politik wang bagi pemilihan Cabang Kuala Selangor seperti yang disiarkan media.
Mengenai dakwaan terhadap beliau, Manikavasagam berkata, Abdul Khalid dan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rembau, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard juga membuat kenyataan kepada media.
Katanya, beliau juga tidak menuduh Abdul Khalid terlibat dengan dakwaan rasuah.
"Saya tidak tuduh Tan Sri Khalid beri rasuah. Dalam video tidak ada (kata saya rasuah).
"Kalau Tan Sri Khalid nak saman saya, tiada masalah," katanya.
Menurut Manikavasagam, beliau akan meneruskan hasrat untuk bertanding dalam pemilihan parti.
"Kita akan tetap bertanding dan tidak akan berundur. Kita akan berikan saingan yang begitu kuat," katanya.