Pengarah Bahagian Keselamatan dan Ketenteraman Awam ESSCom, Datuk Abdul Rashid Harun berkata mereka ditahan di lima pusat menternak ikan dalam sangkar di sekitar perairan Lahad Datu.
"Hasil pemeriksaan ke atas 70 pekerja asing yang kita lakukan selama dua jam bermula 3 petang, kita dapati 35 orang tidak mempunyai sebarang dokumen. Mereka kemudiannya ditahan dan akan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata Ops Gasak 10 dilancarkan susulan insiden penculikan yang membabitkan seorang pengurus ternakan ikan dalam sangkar warga Cina di Pulau Baik dekat sini pada 6 Mei lepas.
Abdul Rashid berkata pihak ESSCom memandang serius kehadiran pendatang asing tanpa izin (Pati) atau pekerja asing yang tidak memiliki sebarang dokumen terutama yang menjadi tali barut kepada penjenayah rentas sempadan.
"Gerakan mengesan dan memburu Pati ini membuktikan bahawa kerajaan melalui ESSCom serius dalam membendung jenayah rentas sempadan serta menjamin keselamatan rakyat Sabah, khususnya di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone)," katanya.
ESSZone merangkumi 10 daerah yang meliputi kawasan 1,733.7 kilometer iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.