suria

Analisis: Calon Perlu Bijak Atur Strategi, Kempen Berbaki Enam Hari Lagi

MEMASUKI hari ketujuh kempen, suasana atau bahang pilihan raya kecil masih belum begitu terasa di Bukit Gelugor atau seperti kata penduduk setempat, 'macam baharu nak masuk gear dua, enjin motosikal pun belum panas lagi.'

Malah, tinjauan mStar Online mendapati suasana di sekitar Parlimen Bukit Gelugor juga kelihatan seperti hari-hari biasa, seolah-olah tiada apa-apa berlaku sedangkan penduduk bakal memilih wakil rakyat baharu yang akan memperjuangkan nasib mereka pada 25 Mei ini.

Apakah semua pihak menganggap masih awal untuk merancakkan kempen, sedangkan tempohnya berbaki enam hari lagi. Malahan, calon bertanding juga dilihat masih menyusun strategi menerusi manifesto yang dirangka untuk meyakinkan pengundi.

Walaupun Barisan Nasional (BN) tidak mempertaruhkan calonnya di kerusi Parlimen itu, semua calon yang bertanding dilihat mengambil sikap berhati-hati dalam merangka strategi kempen masing-masing, seolah-olah bimbang pencabar dapat menghidu jejak mereka.

Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor menyaksikan pertandingan empat penjuru antara DAP dan tiga calon lain - Parti Cinta Malaysia (PCM) dan dua calon bebas bagi merebut kerusi yang dikosongkan penyandangnya, Karpal Singh yang terkorban dalam kemalangan jalan raya di Kampar, 17 April lalu.

Karpal yang juga bekas pengerusi DAP, meraih majoriti 42,706 undi, ketiga tertinggi selepas Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok dari DAP yang memperoleh 51,552 majoriti undi dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam Sim Chee Keong, juga dari DAP, sebanyak 43,063 majoriti undi.

PRK Parlimen Bukit Gelugor, yang mempunyai 61,112 pengundi Cina atau 74.49 peratus.

Ketika ditemui bagi mengetahui strategi kempennya, calon Bebas, Datuk Huan Cheng Guan yang juga Naib Presiden PCM mengakui beliau mengadakan ceramah di kawasan terpilih sekitar Bukit Gelugor pada waktu malam tanpa menjemput media.

"Maaf saya tak jemput media kerana saya tidak mahu strategi saya diketahui pihak lawan. Selalunya saya akan mengadakan ceramah selepas selasai menghadiri makan malam bersama penduduk," katanya.

Cheng Guan berpendapat, pendekatan bertemu pengundi dari rumah ke rumah yang dimulakan sejak Sabtu dapat membantu pengundi memahami dengan lebih jelas mengenai manifesto yang diketengahkannya.

"Kaedah bersemuka ini membolehkan saya mendapat lebih banyak maklumat mengenai permasalahan penduduk dan apa yang mereka harapkan jika saya menang di kawasan ini," katanya.

Bagi calon DAP, Ramkarpal Singh Deo pula, beliau enggan memandang mudah tiga calon lain kerana yakin apa saja boleh berlaku apabila tiba hari pengundian nanti.

"Saya tidak boleh begitu yakin dan tetap menganggap mereka ancaman kepada saya, seperti 'pembunuh senyap' dan saya perlu berjuang sehingga ke penghujungnya," kata anak ketiga mendiang Karpal itu.

Sementara itu, seorang lagi calon Bebas, Mohamed Nabi Bux Mohd Abd Sathar pula menggunakan isu hudud dan masyarakat Melayu dipinggirkan dalam kempennya yang diyakini mampu menarik undi dalam kalangan pengundi Melayu di Bukit Gelugor.

Tidak dinafikan masyarakat Melayu di Pulau Pinang kebanyakannya mendakwa wujud usaha untuk mengusir orang Melayu dari kawasan tersebut dengan menaikkan harga rumah sehingga mencecah RM600,000. Ia diakui penduduk di  Taman Tun Sardon yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Hashim yang menganggap bilangan Melayu makin berkurangan di situ kerana kos kehidupan yang tinggi.

Peguam Abu Backer Sidek Mohamad Zan, 46, yang turut bertanding sebagai calon Bebas turun padang dalam skala lebih kecil dengan jentera pilihan rayanya yang terhad pula memfokuskan permasalahan dalam kalangan pemandu teksi.

Abu Backer yang berasal dari Kampung Makam, Jalan Datuk Keramat di sini dan kini menetap di Kuala Lumpur mengambil pendekatan membantu golongan memerlukan pembelaan.

Walaupun menetap di luar kawasan pilihan raya, beliau masih mahu menyelami masalah penduduk Pulau Pinang untuk diketengahkan kepada pihak berkaitan.

Yang pasti, usaha Abu Backer juga tidak boleh dianggap sebagai satu 'lawak' kerana setiap calon mempunyai pendekatan tersendiri untuk mendekati masyarakat Pulau Pinang khususnya pengundi Bukit Gelugor.

Walaupun PRK Bukit Gelugor dikatakan melalui tempoh kempen yang hambar selepas seminggu berlalu, salah seorang daripada empat calon akan terpilih menduduki kerusi parlimen itu dan semuanya akan terjawab 25 Mei ini.

Bagi calon yang masih mencari-cari rentak untuk memenangi hati pengundi, tempoh enam hari lagi sepatutnya digunakan sebaik mungkin untuk mendekati masyarakat tanpa kenal batasan dan sempadan politik kerana mungkin sentuhan peribadi itu yang akan diterjemahkan dalam bentuk undi untuk mereka bergelar Ahli Parlimen Bukit Gelugor.






kempen, PRK Bukit Gelugor, Parlimen

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain