suria

Polis Tubuh 'Team Cantas' Untuk Jamin PRK Aman

IPOH: Polis Perak mengambil pelbagai langkah termasuk menubuhkan 'team cantas' bagi memastikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan berlangsung dalam suasana aman.

Ketua Polis Perak Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, peranan pasukan itu ialah memintas sebarang cubaan menimbulkan kekacauan oleh pihak tertentu.

"Team cantas ini digerakkan ke semua lokasi yang dikenal pasti," katanya dalam sidang media di sini, Ahad.

Katanya, pasukan cantas itu juga bertujuan mencegah kejadian jenayah membabitkan kumpulan kongsi gelap.

"Selain itu, pihak risikan Jabatan Siasatan Jenayah juga mendokumentasikan individu yang dikenal pasti terbabit dalam beberapa insiden pergaduhan semasa pilihan raya umum ke-13," katanya.

Menurut Acryl Sani, polis juga meningkatkan kehadiran dan rondaan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti.

Mengenai proses penamaan calon esok, beliau menasihati parti-parti bertanding agar mengingatkan penyokong masing-masing menjaga kelakuan dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

"Orang ramai juga dinasihati tidak menggunakan Jalan Changkat Jong yang dijangka dijadikan kawasan berhimpun calon dan penyokong parti-parti bertanding," katanya.

PRK Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandangnya Seah Leong Peng, 48, daripada DAP akibat kanser pada 1 Mei lalu.

Penamaan calon ditetapkan Isnin, 19 Mei, manakala pengundian awal pada 27 Mei dan hari pengundian 31 Mei.


Artikel Lain