suria

Hanya 2.5 Peratus Penderma Darah Tetap Di Malaysia - TPM

Muhyiddin (tengah) beramah mesra dengan penderma selepas Majlis Pelancaran Program Derma Darah Yayasan TSM Golf Amal di Mid Valley Mega Mall, Ahad.
KUALA LUMPUR: Hanya 2.5 peratus rakyat Malaysia menjadi penderma darah tetap, berbanding kebanyakan negara yang mencatat lima peratus, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, walaupun ketika ini bekalan darah di Pusat Darah Negara berada pada tahap memuaskan, namun dalam tempoh mendatang keperluan itu dipercayai akan meningkat dan bertambah.

"Oleh sebab itu, usaha untuk menambah tabungan darah di Pusat Darah Negara ini harus diteruskan, saya percaya kalau inisiatif sebegini dapat dilakukan, terutama badan bukan kerajaan atau swasta menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR), maka peratusan rakyat yang tampil menderma dapat kita tingkatkan," katanya semasa berucap merasmikan Kempen Derma Darah anjuran Yayasan Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSM) Golf Amal di sini, Ahad.

Turut hadir Presiden TSM Golf Amal, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas dan Timbalan Pengarah Pusat Darah Negara Dr Afifah Hasan.

Muhyiddin yang juga pengasas TSM Golf Amal berkata yayasan itu akan meneruskan program seumpama itu sepanjang tahun ini kerana ia memberi implikasi yang agak besar dalam usaha untuk mensejahterakan rakyat.

"Sumbangan TSM Golf Amal ini sejak tiga tahun lepas telah memanfaatkan lebih 1,500 pesakit yang memerlukan darah, mungkin mereka dalam keadaan tenat kalau tidak ada bekalan darah secukupnya atau mungkin maut...Alhamdulillah sedikit sebanyak kita dapat bantu selamatkan mereka," katanya.

Beliau berkata, usaha ini juga perlu disambut oleh masyarakat untuk bersama-sama memastikan keperluan dan bekalan darah di Pusat Darah Negara sentiasa berada pada tahap memuaskan.

"Kesedaran masyarakat tentang pentingnya usaha menentukan tahap jumlah tabungan darah negara sentiasa berada dalam keadaan yang baik adalah tanggungjawab bersama, bukan (tanggungjawab) Kementerian Kesihatan sahaja," katanya.

Muhyiddin turut memuji peranan badan korporat IGB Corporation Berhad iaitu pemilik Mid Valley Megamall yang menyediakan ruang untuk program menderma darah secara percuma.

"Inilah contoh terbaik di mana badan korporat tidak memikirkan soal keuntungan semata-mata, mereka ada rasa kebertanggungjawaban sosial dan sanggup mengorbankan masa, tenaga dan wang ringgit untuk kesejahteraan rakyat," kata Muhyiddin.

Program sehari itu mensasarkan sebanyak 500 beg darah daripada penderma. 


Artikel Lain