GEORGE TOWN: DAP mengakui keputusan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Bukit Gelugor akan menjadi penentu sama ada Dyana Sofya Mohd Daud bakal menang atau kalah di Teluk Intan. Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Itam, Wong Hon Wai berkata, kedua-dua pilihan raya itu dianggap penting untuk memastikan kesinambungan reformasi parti itu. "Kita tidak boleh pandang ringan dua pilihan raya kecil ini. Kalau kita tak menang, peluang di Teluk Intan juga tipis. "Jika Ramkarpal menang, kemenangan itu akan beri gambaran bahawa ramai yang akan mengundi Dyana Sofya. "Satu undi untuk Ram juga merupakan satu undi untuk Dyana," katanya ketika berucap pada ceramah pentas wanita di Kampung Melayu, Air Itam, petang Ahad. Sementara itu, Ramkarpal menuduh Barisan Nasional (BN) cuba mempengaruhi pengundi supaya tidak menunaikan tanggungjawab dengan memberitahu bahawa DAP akan menang. "Mereka kata tak perlu keluar mengundi kerana DAP sudah tentu akan menang. Saya minta supaya anda jangan percaya kata-kata itu," katanya. Anak ketiga Karpal Singh itu mendakwa tindakan tersebut berniat jahat untuk mengurangkan majoriti undi yang pernah dimenangi bapanya.