suria

Sokong BN Berdasarkan Pengalaman Calon - TPM

Muhyiddin (tiga dari kiri) bersama barisan kepemimpinan BN selepas penamaan calon PRK Teluk Intan, Isnin.

TELUK INTAN: Barisan Nasional (BN) mengharapkan lebih 60,000 pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan menyokong calon parti itu yang berpengalaman, Datuk Mah Siew Keong.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pemilihan presiden Gerakan itu sebagai calon BN adalah berdasarkan pengalamannya bukan sahaja dalam parti, malahan kerajaan dan masyarakat.

"Harapan saya ialah lebih 60,000 ribu pengundi di  Parlimen Teluk Intan akan memberi sokongan padu kepada beliau kerana kepemimpinan memilih beliau berdasarkan kepada pengalamannya.

"Banyak jasa beliau kepada rakyat, maka atas sebab itu kita yakin kalau beliau diberi peluang sekali lagi menjadi Ahli Parlimen di Teluk Intan, beliau dapat menjalankan tugas dan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh pengundi," katanya pada sidang media di sini, Isnin.

Siew Keong akan berdepan persaingan satu lawan satu dengan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud.

Bagaimanapun, kata Muhyiddin, BN tidak akan mengambil sikap sambil lewa atau terlalu yakin dalam PRK itu hanya kerana meletakkan calon berpengalaman.

"Kita lihat peluang 50-50 setakat hari ini dan kita akan lihat trend pengundi dalam beberapa hari akan datang," katanya.

Menurut Muhyiddin, pimpinan parti akan memberi sokongan kepada Siew Keong dalam menjalankan tugas bagi membolehkan Teluk Intan membangun dan rakyat mendapat banyak faedah.

Mengenai kempen, beliau berkata, jentera di semua peringkat dalam BN sudah cukup bersedia untuk memperhebatkan kempen sehingga hari mengundi 31 Mei ini.

Katanya, parti akan bekerja keras untuk menjelaskan pelbagai isu atau perkara yang dibangkitkan pengundi.

"Isu-isu itu mungkin akan disentuh parti lawan dari segi ekonomi, sosial, keagamaan, politik, masalah tempatan kerana semuanya akan kita jelaskan dan ini akan memberikan keyakinan kepada pengundi dan akan menyokong calon kita," katanya.

PRK Teluk Intan diadakan berikutan kematian penyandang kerusi Parlimen itu, Seah Leong Peng akibat kanser pada 1 Mei lalu.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Mei tahun lalu, Leong Peng mengalahkan Siew Keong dan calon bebas, K. Moralingam dengan majoriti 7,313 undi.

Artikel Lain