TELUK INTAN: Calon DAP Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud tidak terganggu dengan dakwaan sebagai pengkhianat Melayu berikutan mewakili parti itu untuk bertanding pada PRK berkenaan. "Saya bukan pengkhianat Melayu maka ia (dakwaan) tidak jejaskan saya. "Tak apa, biarlah apa orang nak cakap. Tidak semestinya kita kena menerima. Ia tidak menganggu dan tidak menjejaskan saya langsung," katanya pada sidang media di pusat operasi kempen DAP di sini, Selasa. Dyana yang merupakan Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang akan bertanding satu lawan satu dengan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong yang juga Presiden Gerakan pada PRK Teluk Intan. Mengenai kempen, beliau berkata, parti bukan sahaja 'menjual' Dyana Sofya malah turut membawa DAP dan Pakatan Rakyat. Dalam pada itu, Dyana juga mengakui pengaruh pemimpin parti, Lim Kit Siang membantu beliau untuk berkempen. "Sudah tentu, (pengaruh Lim) juga untuk parti dan pakatan," katanya. Ditanya mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan Dyana sebagai calon 'window dresssing' kerana mewakili DAP pada PRK Teluk Intan, beliau menerima pandangan itu "Saya terima pendapat beliau. Keluarga saya juga menerima pendapat beliau," katanya. Menurut Dyana, beliau turut menyanjungi anak-anak Tun Dr Mahathir kerana ada yang menjadi ahli perniagaan, ahli politik dan aktivis sosial yang berjaya dan disegani. "Datuk Mukhriz Mahathir yang cuba membawa perubahan dalam Umno dan aktivis terkenal, Datin Paduka Marina Mahathir," katanya. Dr Mahathir pada Isnin berkata, orang Melayu tidak sepatutnya terus ditipu dan diperangkap oleh pembangkang yang menampilkan Dyana Sofya, 27, dalam PRK Teluk Intan.