suria

DAP Korban Calon Tempatan Kerana Dyana Sofya

TELUK INTAN: Pemilihan Dyana Sofya Mohd Daud sebagai calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan membuktikan DAP mengetepikan calon parti yang layak di kawasan Parlimen itu.

Penasihat Gerakan, Datuk Chang Ko Youn mendakwa, ia sekali gus mencerminkan kesombongan pucuk pimpinan DAP dalam pemilihan calon.

"Mereka ketepikan calon-calon yang layak di peringkat bahagian dan berasal dari Teluk Intan.

"Mereka memilih calon 'payung terjun' dari Johor untuk turut bertanding," katanya yang merujuk kepada Dyana yang merupakan Setiausaha Politik kepada pemimpin DAP, Lim Kit Siang di Parlimen Gelang Patah, Johor.

Chang mendakwa pencalonan Dyana dilihat seolah-olah untuk menyembunyikan konflik dalaman DAP Perak.

Dakwanya lagi, bekas Ahli Parlimen Teluk Intan, M. Kula Segaran dan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Min mempunyai pandangan yang berbeza dalam pemilihan calon untuk PRK Teluk Intan.

Menurut Chang, pucuk pimpinan DAP terlalu yakin dengan sokongan masyarakat Cina sehingga meletakkan seorang calon Melayu untuk meraih sokongan pengundi Melayu.

"Mereka ingat Pilihan Raya Umum yang lepas dapat meraih 85 peratus undi masyarakat Cina, oleh itu mereka yakin dan berpendapat mana-mana calon yang diletakkan tetap mendapat sokongan kuat pengundi Cina.

"DAP dilihat tidak berlaku adil kepada Dyana kerana mengeksploitasi calon PRK Teluk Intan itu bagi memancing undi masyarakat Melayu," katanya.

PRK Teluk Intan menyaksikan pertandingan lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong, 53, dan calon DAP, Dyana Sofya, 27.

Pilihan raya tersebut diadakan berikutan kematian penyandangnya, Seah Leong Peng akibat kanser pada 1 Mei lalu.

DAP, Gerakan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

KWSP Nafi Keluar Bon

Artikel Lain