suria

BN Amal Politik Adil - Ahmad Maslan

Ahmad ketika menghadiri majlis di Kampung Bahagia, Teluk Intan, Isnin.
TELUK INTAN: Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan Barisan Nasional (BN), Datuk Ahmad Maslan berkata, parti itu mengamalkan politik adil dalam mengetengahkan calon pilihan rayanya.

Beliau berkata, politik BN adalah politik adil di mana parti memberi peluang kepada seseorang calon yang layak di tempatnya.

Ia dibuktikan menerusi pencalonan Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong sebagai wakil BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan.

"Itulah maksud adil iaitu meletakkan sesuatu di tempatnya. Di sini, 43 peratus pengundi adalah orang Cina, jadi kita letak calon Cina.

"Kita inginkan orang yang berpengalaman. Kita ingin orang nombor satu dalam satu-satu tempat itu sama ada dia ketua bahagian atau presiden parti. Jadi kita letak Mah sebagai calon," katanya ketika ditemui selepas sesi ceramah di Kampung Bahagia dekat sini, malam Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai Setiausaha DAP, Lim Guan Eng dalam ceramahnya malam Ahad yang menyifatkan pencalonan Dyana Sofya Mohd Daud mewakili parti pada PRK Teluk Intan sebagai sebahagian politik baharu.

Mengulas lanjut, Ahmad mendakwa bahawa 'politik baharu' yang diketengahkan DAP sekadar dijadikan perangkap dalam politik parti itu.

"Walaupun (DAP) ketengahkan politik baharu tetapi tidak adil. Politik adil itu lebih adil daripada politik baharu.

"Calon kita... layak di tempatnya. Pengalamannya jauh lebih banyak,  jawatannya presiden parti (Gerakan), pernah jadi Adun dan Ahli Parlimen, juga pernah jadi timbalan menteri. Calon kita juga anak tempatan. Itulah yang selayaknya," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, isu ekonomi merupakan antara perkara yang akan diperjelaskan kepada rakyat sepanjang kempen parti pada PRK Teluk Intan.

"Kita akan memperjelaskan tentang cukai barangan dan perkhidmatan (GST), hutang negara dan kos sara hidup," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain