PETALING JAYA: Kerajaan Selangor tetap akan meneruskan pembinaan projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex) walaupun ia mendapat bantahan penduduk. Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagaimanapun berkata kerajaan negeri akan mengambil kira bantahan yang disuarakan. "Pembinaan lebuh raya itu tetap akan dijalankan dan kami akan membuat pelarasan berdasarkan cadangan (yang dibuat) kerana bukan semua penduduk di sana membantah pembinaannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 di sini, Selasa. Penduduk kawasan berkenaan sebelum ini dilaporkan mendakwa pembinaan projek lebuh raya sepanjang 14 kilometer dengan anggaran kos RM2.2 bilion itu akan memusnahkan alam sekitar selain menyebabkan harga hartanah merudum, dan bukan disifatkan satu penyelesaian yang bijak kepada masalah lalu lintas. Mengenai pembatalan pemilihan sejumlah cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang terpalit dengan dakwaan terdapat unsur penipuan dan ketidaktelusan, Abdul Khalid berkata pemilihan semula tidak akan dilakukan dalam masa terdekat. Ini kerana pelbagai usaha penambahbaikan perlu dilakukan terlebih dulu bagi mendapatkan semula keyakinan anggota PKR terhadap pemilihan yang akan diadakan semula nanti, katanya.