suria

"Jenayah Dan Sosial, Isu Yang Merunsingkan Penduduk Teluk Intan" - Dyana

TELUK INTAN: Calon DAP Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud menegaskan bahawa jenayah adalah isu yang serius yang merunsingkan para pengundi di kawasan ini berdasarkan tinjauan yang mereka jalankan baru-baru ini.

Peguam berusia 27 tahun itu berkata, berdasarkan kajian yang dibuat DAP, gejala sosial dan isu jenayah merupakan masalah utama yang merunsingkan pengundi di parlimen tersebut.

"Jenayah adalah isu serius yang merunsingkan pengundi di kawasan ini kerana ia berada di kedudukan kedua tertinggi ketika proses tinjauan dan sola jawab diadakan.

"Oleh itu, saya ingin menekankan pendirian DAP bahawa Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu meningkatkan profesionalisme dan kecekapan selain menambah lebih banyak anggotanya untuk membanteras jenayah di negara ini," katanya di sini, Rabu.

Dalam pada itu, Dyana turut menyentuh isu serangan terhadap dua biarawati dalam kejadian samun yang menyebabkan seorang daripada mereka iaitu, Rahib Juliana Lim terkorban selepas tujuh hari bertarung nyawa akibat kecederaan parah yang dialami.

"Saya ingin merakamkan ucapan takziah buat teman-teman dan ahli keluarga Juliana.

"Kita berharap jenayah keji ini yang diklasifikasikan sebagai kes bunuh dapat diselesaikan dengan segera. Dengan itu, episod yang menyayat hati akan berakhir dan keadilan ditegakkan," katanya.

Beliau menambah, kes serangan melibatkan biarawati itu memperlihatkan betapa seriusnya keadaan jenayah di negara ini.

"Saya sekali lagi menegaskan supaya pihak polis mengambil perhatian terhadap perkara ini demi keselamatan rakyat dan negara," katanya.

Dalam kejadian pada pukul 6 pagi, Rabu minggu lalu, Julianna, 69, bersama rakannya, Marie Rose@Theresa Teng, 79, diserang individu yang tidak dikenali dan ditemui penjaga gereja dalam keadaan parah di Gereja Visitation, Seremban.

Seorang lagi mangsa, Marie Rose bagaimanapun hanya mengalami luka di anggota badan.

DAP, Teluk Intan

Artikel Lain