TOKYO: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini petang Rabu untuk lawatan kerja dua hari, menghadiri dan menyampaikan ucaptama pada persidangan antarabangsa berprestij, Nikkei, esok. Pesawat khas yang membawa Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda pada kira-kira 5.15 petang waktu tempatan (4.15 petang waktu Malaysia). Mereka disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Jepun, Datuk Shaharuddin Md Som, isteri Datin Norasikin Hashim dan Duta Besar Jepun di Malaysia Dr Makio Miyagawa. Perdana Menteri dan isteri kemudiannya disambut di Imperial Hotel di Tokyo, tempat penginapan di sini, oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Malaysia Datuk Othman Hashim, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Nikkel Inc, Tsuneo Kita, anggota delegasi Malaysia dan pegawai kedutaan. Najib yang juga Menteri Kewangan, memulakan lawatan dengan pertemuan bersama rakan sejawatannya, Shinzo Abe, di pejabat Perdana Menteri. Kedua-dua perdana menteri dijangka membincangkan kerjasama dua hala serta isu-isu antarabangsa. Malam ini, Najib dan anggota delegasi akan menghadiri jamuan peribadi oleh Abe dan isteri, Akie Abe, di kediaman rasmi perdana menteri di sini. Pada Khamis, Najib akan menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-20 mengenai Masa Depan Asia bertema "Rising Asia - Messages for the Next 20 Years". Kunjungan ini adalah yang kedua oleh Najib sebagai penyampai ucaptama pada persidangan itu, selepas kemunculan pertama pada Persidangan Nikkei ke-17 pada 2011. Pada persidangan itu, Najib akan bercakap mengenai Model Baru Ekonomi (NEM) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) dalam mewujudkan persekitaran perniagaan yang kondusif bagi pertumbuhan ekonomi, pembangunan dan pelaburan untuk menjadi negara berpendapatan tinggi dan negara maju menjelang 2020. Persidangan antarabangsa itu merupakan forum yang menghimpunkan pemimpin politik, termasuk ketua kerajaan dan eksekutif perniagaan, setiap tahun bagi membincangkan masa depan negara di Asia Pasifik, dan bagimanana pembangunan di rantau ini mampu memberi impak kepada ekonomi global. Sejak penubuhannya pada 1995, Masa Depan Asia diperakui sebagai antara persidangan antarabangsa utama di Asia. Selepas menyampaikan ucaptama, Najib dan Rosmah dijadual berlepas ke Astana, Kazakhstan, lewat tengah hari untuk lawatan kerja.